Penjenamaan semula, kekalkan warna tradisi!

HIJAU-PUTIH... risalah kekalkan warna hijau-putih dilakukan ketika perlawanan ERA FC.
Pengumuman mengenai penjenamaan semula pasukan bola sepak Melaka menjadi Melaka United Soccer Association (MUSA) oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron mendapat reaksi yang pelbagai oleh baik penyokong mahupun pemerhati bola sepak tempatan. Ini dilakukan bagi menghasilkan pasukan yang mantap menjelang kempen Liga FAM 2014 yang dijangka akan bermula awal tahun hadapan.

Penekanan dapat membentuk pemain remaja yang berkualiti sememangnya satu langkah bijak namun perlu diselitkan bersama penambahan pemain berkualiti dan berpengalaman bagi membimbing pemain muda ini berkembang menjadi pemain bola sepak yang matang.

Namun, penjenamaan semula atau dengan bahasa mudahnya menukar warna tradisi 'hijau-putih' pasukan nyata membangkitkan kemarahan penyokong. Rata-rata berpendapat bahawa tiada keperluan untuk Ketua Menteri menukar warna pasukan seperti yang pernah dilakukan oleh Datuk Vincent Tan terhadap kelab Liga Perdana Inggeris miliknya, Cardiff City, dari warna biru ke warna merah.

Mungkin beliau telah lupa warna inilah yang pernah mengangkat martabat pasukan Melaka pada era awal 80-an dan warna inilah yang dikenakan pada badan lagenda Melaka seperti Datuk Soh Chin Aun dan lain-lain. 

RAMAI... pneyokong rata-ratanya rakyat Melaka hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di bumi yang ketandusan aksi peringkat tertinggi bola sepak tempatan.
Bertitik tolak dari itu, beberapa penyokong dilihat hadir ke Stadium Hang Jebat ketika perlawanan bola sepak membabitkan Era FC menentang pasukan Arena All Starz dengan mengedarkan risalah menggesa supaya warna hijau putih dikekalkan. 

EDAR... beberapa penyokong mengedarkan risalah kepada orang ramai.
Dari sesi temubual penulis bersama beberapa penyokong di stadium, mereka bersetuju supaya Ketua Menteri tidak menukar warna tradisi pasukan sambil memuji tindakan menjenamakan semula pasukan Melaka. 

SOKONG... Kim Swee sedia berikan nasihat kepada penyokong Melaka dalam misi mengekalkan warna tradisi.
Selain itu, jurulatih pasukan Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang menerima risalah terbabit turut memberikan komen positif. Beliau sendiri menyatakan kesediannya memberikan pandangan dan sokongan terhadap tindakan penyokong Melaka bagi memastikan 'warna tradisi' dikekalkan pihak pengurusan.

PANDANGAN... Chin Aun dan Rizal Hashim berkongsi pendapat mereka.
Pengamal media seperti Zainal Abidin Rawop, Rizal Hashim, Hafizal Hamad, lagenda, Datuk Soh Chin Aun dan lain-lain lagi turut sedia maklum akan risalah yang diedarkan penyokong. 

Kepulangan Datuk Idris Haron dari Persidangan Parlimen Komanwel di Johannesburg awal pagi tadi semangnya 'kepulangan yang dinanti.' Diharapkan bakal ada 'sinar' yang akan dibawa Datuk Idris Haron dalam merencanakan pembangunan bola sepak di Melaka kerana beberapa pemain 'besar' sudah mula mengintai peluang beraksi di bumi Hang Tuah ini.;