Pasukan bola sepak Piala Presiden Melaka mengatasi Universiti Nasional Singapura (NUS) 8-0 pada aksi persahabatan di Stadium Hang Tuah baru-baru ini.
Keputusan itu melebarkan rekod cemerlang sepanjang tujuh perlawanan persahabatan dengan tiga kemenangan selain tiga seri dan hanya tewas sekali sambil membuktikan skuad terbabit mampu membentuk cabaran getir menjelang aksi pembukaan 27 Januari depan.
Sebelum ini, pasukan itu turut meraih kemenangan 1-0 ke atas skuad Jabatan Ketua Menteri, seri 1-1 bertemu Johor Darul Takzim, Syarikat Air Melaka (SAMB) 0-0 dan RAMD (0-0) dengan sasaran layak sekurang-kurangnya ke suku akhir kejohanan.
Jurulatih Melaka Musafar Shah Dawood Shah, berkata kemenangan itu nyata menyuntik semangat pemain untuk beraksi cemerlang pada saingan liga.
“Bagaimanapun kejayaan besar ke atas NUS belum boleh dibanggakan berikutan lawan bukan sebuah pasukan yang memiliki kekuatan seimbang tambahan mereka hadir sekadar menguji kewibawaan skuad muda Melaka.
“Namun apa yang penting kemenangan itu cukup memberi makna buat kesebelasan pasukan untuk memantapkan strategi lebih jitu menjelang aksi pembukaan kelak,” katanya.