.

.

Melaka United sasar layak ke Liga Perdana


Selepas empat musim beraksi dalam saingan Liga FAM, skuad bola sepak Melaka yang berwajah baharu berazam untuk melangkah ke saingan Liga Perdana pada musim 2015.

Bagi tujuan tersebut Melaka membuat persiapan paling ampuh dan mantap dengan sasaran untuk menjuarai Liga FAM musim depan dan seterusnya untuk layak secara automatik ke kancah Liga Perdana.

Melaka tidak lagi mahu menjadi pasukan belasahan dan menjadi salah satu pasukan negeri bersama Perlis beraksi dalam Liga FAM iaitu liga yang menghimpunkan pasukan berstatus kelab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Melaka (MAFA) Datuk Seri Idris Haron berkata, Melaka sudah bersedia untuk melenyapkan segala duka dan penghinaan yang dilemparkan sejak terjerumus ke kancah Liga FAM sejak empat musim lalu.

''Sasaran Melaka dengan pengurusan, jurulatih dan pemain-pemain baharu adalah untuk memastikan kita melangkah semula ke saingan Liga Perdana pada musim 2015 dan seterusnya ke Liga Super.

''Sudah cukup rasanya pasukan bola sepak Melaka dihina kerana beraksi di saingan Liga FAM dan azam kami seluruhnya ingin melakar kejayaan pada musim depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak jurulatih dan 20 pemain Melaka yang akan beraksi dalam Liga FAM musim depan.

Idris berkata, pemilihan jurulatih berasal dari Slovakia, Ladislav Totkovic, 51, bekas pemain kelab FC Tatran Presvoc membuktikan kesungguhan Melaka mahu bangkit bersaing yang pernah ditempoh pada era 80-an lalu.

Katanya, jurulatih dari Slovakia itu akan dibantu oleh bekas pemain kebangsaan Rahim Abdullah bagi menjamin kesinambungan idea dua tonggak bagi memartabatkan semula maruah bola sepak Melaka.

Beliau berkata, skuad kali ini akan diperkukuhkan dengan lima pemain kelahiran Melaka kembali semula ke pangkuan selepas menabur bakti dengan pasukan lain musim ini.

''Di samping itu, kita turut melamar empat pemain berpengalaman bagi memperkukuhkan skuad Melaka di samping beberapa pemain anak tempatan," katanya.

Empat pemain luar yang dilamar ialah K. Rajan yang beraksi untuk skuad Selangor, Mohd. Amirul Omar (Negeri Sembilan), Wan Azwari Wan Nor (Sabah) dan K.Shathiya (JDT).

Lima pemain kelahiran Melaka yang kembali semula menyarung jersi negeri ialah Mohd. Saiful Mustapa (T-Team), Mohd. Yusri Abas (T-Team), Mohd. Atif Hanif (Perlis), Mohizam Shah Dawood Shah (Felda United) dan Mohamad Khairul Ehsan Md. Isa (Kedah) dan Rashid Mahmud (Negeri Sembilan).
Powered by Blogger.