.

.

MUSA mahu ubah aksi ke Stadium Hang Jebat

Melaka United Soccer Association (MUSA) memepertimbang menggunakan Stadium Hang Tuah sebagai lokasi tuan rumah bagi aksi Liga FAM yang memulakan saingan Mac depan.

Sebelum ini, Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Krubong dipilih sebagai lokasi yang mendapat restu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun sambutan memberangsangkan penyokong pada setiap aksi persahabatan menyebabkan pengurusan pasukan mengambil kira beberapa aspek untuk membolehkan aksi Liga FAM diadakan di stadium itu.

Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi (gambar) berkata, berikutan banyak permintaan, keinginan peminat dan sambutan luar dugaan mendorong pengurusan meneliti cadangan berkenaan.

Beliau berkata, beberapa masalah dikenal pasti jika perlawanan diadakan di Stadium Hang Tuah termasuk ketiadaan tempat duduk yang diubahsuai untuk dijadikan kawasan rekreasi berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC).


Katanya, ada juga perancangan untuk menutup semula kawasan berkenaan dengan reka bentuk baru termasuk meletakkan kawasan riadah itu sebagai sebahagian daripada kawasan stadium.

"Apapun semuanya dalam penilaian dan akan diperhalusi melalui perbincangan banyak pihak terutama Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron yang juga Presiden MUSA.

"Namun kemungkinan peluang peminat menyaksikan aksi Liga FAM di gelanggang bersejarah yang dulunya dikenali Stadium Kubu itu tetap ada. Cuma masanya belum dipastikan. Namun apa yang pasti kemungkinan besar kita tetap menggunakan stadium Hang Jebat sebagai venue perlawanan," katanya.

Beliau berkata, sambutan peminat terhadap pasukan Melaka agak memberangsangkan sehingga setiap ruang stadium dipenuhi penyokong yang ingin melihat kebangkitan skuad berkenaan dalam kancah Liga Malaysia.

Menurutnya, perkembangan positif berkenaan membuka lembaran menarik untuk perkembangan bola sepak Melaka selain mampu mengisi kantung persatuan dan merancakkan industri bola sepak negeri dan negara.

Mengulas pertemuan beliau bersama bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang juga bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, beliau berkata, perbincangan dua hala itu memberi faedah kepada MUSA dalam misi membangun semua bola sepak negeri.
Powered by Blogger.