.

.

Pengajaran berguna bertemu JDT


Melaka United memperolehi pengalaman berharga dalam aksi sulung perlawanan pramusim 2014 ketika tewas 1-4 kepada pasukan berstatus Liga Super dan dibarisi bintang ternama, Johor Darul Takzim 1 (JDT1) di Stadium Larkin, semalam. 

Walaupun berhadapan lawan yang rata-ratanya dibarisi pemain bertaraf kebangsaan, Melaka United berjaya mendominasi 15 minit pertama perlawanan dengan gerakan pemain import JDT 1, Luciano Figueroa dan Pablo Aimar berjaya dirantai pertahanan Melaka United.

Melaka berpeluang menjaringkan gol pada awal permainan namun tandukan Saiful Mustafa singgah dipalang gol JDT1 yang dikawal bekas penjaga gol Harimau Muda, Izham Tarmizi.

Tersentak dengan cubaan tersebut, JDT cuba melancarkan serangan bertali-arus ke kubu Melaka namun disiplin yang ditinggi ditunjukkan empat pemain pertahanan Melaka, Rahim Bakar, Jimmy, Wan Hossen dan Wan Azwari berjaya mematahkan gerakan penyerang lawan.

Keputusan pengadil yang kurang konsisten sejak wisel perlawanan dibunyikan akhirnya memberikan impak kepada Melaka United. Natijahnya, Aimar berjaya membolosi gawang Melaka United yang dikawal oleh Khairul Izwan menerusi sepakan percuma kontroversi pada minit ke-29. 

Gol itu nyata tidak mematahkan semangat pemain Melaka United apabila trio serangan, Ahmad Aminuddin, Fauzzi Kassim dan Yusri Abas berjaya mengucar-kacirkan pertahanan JDT1 yang dikemudi ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak.


Kealpaan barisan pertahanan Melaka dihukum Figueroa apabila bekas penyerang kebangsaan Argentina itu berjaya menewaskan Khairul Izwan untuk gol kedua JDT1 pada minit ke-37. Tamat separuh masa, JDT1 mendahului dengan kedudukan 2-0.

Diseparuh masa kedua, Melaka United bagai mendapat tonik berharga dari jurulatih, Ladislav Tatkovic apabila berjaya merapatkan jurang menerusi Yusri Abas. Bermula dari sepak mula separuh masa kedua, bekas penyerang T-Team itu berjaya menanduk masuk hantaran dari tengah padang melepasi jangkauan penjaga gol gantian JDT1, Al-Hafiz Hamzah.

JDT1 selepas itu banyak mendominasi perlawanan pada separuh masa kedua tetapi gagal untuk menembusi kekentalan barisan pertahanan Melaka United.

Seperti yang dijangka, kegagalan pengadil mengendalikan perlawanan dengan baik memberikan impak kepada pasukan pelawat. Hasilnya, JDT1 dihadiahkan sepakan penalti selepas Safee Sali didakwa dikasari pertahanan Melaka dan penyerang kebangsaan itu mudah meletakkan JDT1 kembali selesa di depan dengan kedudukan 3-1. 

Safee Sali sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Melaka United apabila berjaya menambah jaringan keempat pasukannya apabila tenang menyudahkan hantaran cantik Nurul Azwa Roya untuk gol keempat JDT1. Tamat perlawanan, JDT1 4-1 Melaka United.


JDT1: Izham Tarmizi, Jasazrin Jamaludin, Fadli Shas, Aidil Zafuan, Fazly Mazlan, Shakir Shaari, Pablo Aimar, Amirulhadi Zainal, Hariss Harun, Nazrin Nawi, Luciano Figueroa.

MELAKA UNITED : Khairul Izwan, Rahim Bakar, Ahmad Khuzaimi Piee, Wan Azwari Wan Nor, Mohd Amirul Omar, Rashid Mamud, Saiful Mustafa, Fauzzi Kassim, Ahmad Aminuddin, Yusri Abas.
Powered by Blogger.