.

.

LIGA FAM 2014: MELAKA UNITED 5-2 MISC-MIFA

PESTA GOL... pemain Melaka United meraikan jaringan Amir Shahreen Mubin. Foto: MUSA
Melaka United akhirnya bangkit dari lena apabila garang membenam cabaran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) 5-2 di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini. Selepas mencatat keputusan hambar dalam dua perlawanan awal, jurulatih, Latko Tatkovic melakukan beberapa pertukaran dalam usaha memburu kemenangan sulung kempen Liga FAM 2014.

Pasukan tuan rumah mendominasi babak pertama dengan baik apabila berjaya mendahului pada minit ke-8 menerusi jaringan sendiri pemain MISC-MIFA, B.Thinagaran yang tertampan bola ke gawang sendiri, selepas cubaan penyerang, Yusri Abas melantun terkena palang gol lawan. 

Tersentak dengan jaringan tuan rumah, MISC-MIFA cuba mengatur gerakan ke arah kubu Melaka United dan hampir-hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26, apabila jaringan L.Thanaraj dibatalkan kerana dia berada dalam kedudukan offside.

Pada minit ke-27, Yusri Abas berjaya menambah gol kedua Melaka United apabila mudah menolak masuk bola hantaran Asyrul ketika gawang gol sudah terbuka untuknya. Penyerang kelahiran Melaka itu sekali lagi menjadi duri dalam daging buat MISC-MIFA apabila berjaya menambah gol kedua peribadi pada minit ke-43, yang menyudahkan peluang ketika situasi kelam-kabut dalam kotak penalti MISC-MIFA.

HATRIK...sentuhan penyudah berbisa Yusri Abas pastikan kemenangan bergaya Melaka United. Foto: MUSA.
Pasukan pelawat berjaya mengurangkan defisit gol beberapa saat sebelum wisel penamat separuh masa apabila P.Puvaneswaran menanduk masuk bola hantaran lintang, menewaskan Khairul Izwan di gawangnya.

MISC-MIFA membawa momentum akhir babak pertama di awal separuh masa kedua apabila berjaya merapatkan jurang menerusi R.Sauntarayan pada minit ke-49, hasil dari kesilapan barisan pertahanan Melaka United.

Tidak mahu mimpi ngeri dejavu di Temerloh Rabu lalu kembali, Rashid Mamud dan rakan sepasukan bangkit menambah dua lagi jaringan gol dalam masa tiga minit, masing-masing menerusi Amir Shahreen Mubin pada minit ke-56 dan Yusri Abas, minit ke-58, sekaligus melengkapkan hatrik pertamanya musim ini bersama Melaka United. Tamat perlawanan, Melaka United 5-2 MISC-MIFA.

Kedudukan terkini liga yang diambil dari page Liga FAM:-

Powered by Blogger.