.

.

LIGA FAM 2014: YBU PERAK FC 1-1 MELAKA UNITED

GAGAL... kelekaan minit akhir beri Melaka bawa pulang satu mata sahaja.
 Impian Melaka United untuk layak ke Liga Perdana musim 2015 semakin tipis apabila dipaksa seri 1-1 oleh pasukan dari utara tanah air, Perak YBU FC minggu lalu. Entah apa yang tidak kena dengan pasukan ini apabila gagal menggunakan kelebihan satu gol yang dimiliki apabila tuan rumah berjaya mencuri satu mata pada masa kecederaan lewat permainan.

Kem motivasi yang diberikan nampaknya tidak cukup kuat untuk membangkitkan semangat melawan anak buah Rahim Abdullah. Turun ke Padang PCRC Ipoh dengan misi tiga mata, kegagalan barisan serangan sekali lagi menghampakan puluhan penyokong yang datang berkonvoi ke Perak.

Pemain tengah, Wan Hossen Wan Abdul Ghani berjaya meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-37 apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti. Melaka United menerima tamparan hebat pada babak kedua apabila Bukhari Idris diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan, empat minit selepas wisel babak kedua dibunyikan.

Tujuh minit berselang, giliran pasukan tuan rumah beraksi dengan sepuluh pemain apabila Mohd Rosdi Said dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-56. Corak fizikal yang dipamerkan Perak YBU FC nyata berhasil dan menggagalkan setiap serangan pasukan Melaka United.

Kelekaan babak akhir perlawanan nyata membawa padah kepada pasukan pelawat apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kontroversi pada masa kecederaan penghujung perlawanan. Pemain tengah, Mohd Kahirul Naib mudah menyempurnakan sepakan penalti dan menewaskan Khairul Efsan bagi memberikan satu mata penting kepada pasukan tuan rumah.

Tamat perlawanan, Perak YBU FC 1-1 Melaka United. Dengan keputusan ini, impian layak sebagai juara Liga FAM 2014 semakin pudar dan tidak mustahil jika prestasi hambar berterusan dipamerkan pasukan, sudah pasti peminat Melaka United perlu bersedia 'menikmati' musim kelima di liga bawahan Malaysia ini.



PERAK YBU FC: Mohd Naufal, Nurul Nasriq (88' Ekbar Zoulkdeli), S.Savirimuthu, Hafis Amran, Muhammad Aliff (72' Faizal Rahim), Khairul Izzat, Muhammad Solehhin, Mohd Fauzi, Mohd Khairul Naib, Hazrol Khairee, Mohd Rosdi Said

Simpanan Yang Tidak Digunakan: Mohd Shawal, Hafis Hadir, Zahirrudin Sabri, Mohd Arif Fazlie, Khairil Helmi

Kad Kuning: Mohd Khairul Naib 33', Mohd Rosdi Said 42', Nurul Nasriq 88'

Kad Merah: Mohd Rosdi Said 56'

Penjaring Gol: Mohd Khairul Naib 90'+3 (p)

MELAKA UNITED: Khairul Efsan, Rahim Bakar, Rashid Mamud, Ahmad Khuzaimi, Farid Saibun, K.Rajan (70' Muhamad Hazwan), Wan Hossen, Bukhari Idris, Jasmer Mehat, Shaizil Japery (45' Asyrul Wahab), Wan Alif Jasmi (88' Rahmat Naemat)

Simpanan Yang Tidak Digunakan: Mohd Azrin, Ng. Choon Yiap, Aroon Kumar, Muhammad Hazwan, Muhammad Hafizulddin

Kad Kuning: Bukhari Idris 42', Farid Saibun 69', Rashid Mamud 90'+3

Kad Merah: Bukhari Idris 49'

Penjaring Gol:  Wan Hossen Wan Abdul Ghani 37' (p)


Foto: Melaka United Official
Powered by Blogger.