.

.

RASMI: MAT ZAN MAT ARIS KETUA JURULATIH BAHARU MELAKA UNITED


MELAKA: Bekas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris dilantik sebagai Ketua jurulatih Melaka United yang beraksi di Liga FAM, umum Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, hari ini.

Idris yang juga Presiden Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkata pelantikan Mat Zan bersandarkan kepada pengalaman luasnya sebagai bekas pemain kebangsaan dan juga jurulatih.

Katanya, kemampuan Mat Zan selaku jurulatih sudah terbukti ketika membimbing Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001 dan sebagai pemain ketika mewakili Kuala Lumpur - pasukan yang memenangi tiga gelaran Piala Malaysia pada era 80-an.

"Persetujuan Mat Zan untuk memegang jawatan ini akan mencetus semangat buat Melaka United yang bakal berdepan cabaran lebih besar musim depan, terutama selepas mengharungi saingan kurang memuaskan musim ini," kata Idris ketika mesyuarat Exco negeri, hari ini.

Tahun ini, Melaka United yang dibimbing jurulatih dari Slovakia, Ladislav Totkovic menamatkan saingan Liga FAM di kedudukan keenam selepas mengumpul 28 mata daripada 22 perlawanan.

Mat Zan sebelum ini menjadi pembantu kepada jurulatih skuad Harimau Muda B, Razip Ismail.

Melaka United memasang hasrat lebih besar apabila dikatakan memperuntukkan RM2 juta untuk menghadapi saingan musim depan. - BERNAMA

Foto: Facebook Melaka United
Powered by Blogger.