MISI BAWA MELAKA KE LIGA PERDANA 2016 - MAT ZAN

Oleh Ahmad S.M Yusof
putbola@gmail.com

Empat musim yang hambar dalam kempen Liga FAM sejak dari 2011, penyokong Melaka pastinya ternanti-nantikan apakah akan ada keajaiban atau muncul sang wira yang mampu menaikkan kembali maruah negeri yang sekian lama tercalar.

Sering menjadi bahan lawak jenaka baik di media sosial mahupun di kedai kopi, pasukan ini seolah-oleh lena dibuai mimpi indah ketika pasukan jiran semakin gah mencipta nama ke peringkat antarabangsa.

Pertukaran pengendali Melaka bagaikan menukar baju tetapi tiada apa yang mampu dijelmakan selain daripada pencapaian di tempat ke 6, 7, 6 dan 6 sepanjang empat musim yang mengecewakan itu.

Dari era pemerintahan ‘mee goreng’ Hahi hinggalah ke pimpinan sekarang, Datuk Yusoff Mahadi, skrip klise yang dijelmakan pasukan sehinggakan penyokong menjadi bosan untuk mengikuti sejauh mana hikayat yang cuba dicipta sang pelakonnya.

Setelah hampir setengah dekad Melaka di Liga FAM, penulis mengambil peluang menemuramah pengendali baharu pasukan, Mat Zan Mat Aris selepas tamat perlawanan persahabatan antara Melaka dan pendatang baharu Liga FAM, Real Mulia FC di Padang B, Kompleks Latihan Maybank, Bangi, baru-baru ini.

Mat Zan... hdapi tugas berat mengembalikan maruah bola sepak Melaka.
Ditanya mengenai sejauh mana persediaan pasukan dalam menghadapi pusingan pertama Piala FA, jurulatih berusia 58 tahun itu memberitahu bahawa pasukannya masih belum 100 peratus bersedia termasuk dalam aspek kecergasan, ketahanan dan sebagainya.

“Untuk musim ini, kita telah membuat persediaan awal termasuklah sesi pemilihan pemain, siri jelajah pra musim dan lain-lain bagi memantapkan pasukan. 

“Saya berharap pemain secara perlahan-lahan dapat menyesuaikan corak permainan yang cuba diterapkan dan tempoh empat minggu sebelum perlawanan Piala FA diharap cukup bagi menyediakan pasukan yang ampuh dan mampu memberikan saingan kepada Terengganu,” katanya.

Menurut Mat Zan, pasukan Melaka bagi musim ini diperkuatkan dengan pemain muda dengan purata umur kesemua 26 pemainnya adalah sekitar 22.6 tahun.

“Melaka turut dibarisi beberapa orang pemain berpengalaman seperti skipper, Azizan Baba yang kembali ke pangkuan pasukan selepas berkelana di Pulau Pinang.

“Adunan pemain muda dan berpengalaman diharap mampu menjelmakan sesuatu buat pasukan. Siri perlawanan pra musim yang diatur merupakan medan terbaik mengenalpasti kelemahan yang ada,” jelasnya.

Ditanya mengenai sasaran yang ditetapkan pengurusan untuk kempen Liga FAM musim ini, Mat Zan berkata, beliau diamanahkan untuk membawa pasukan kembali ke peringkat tertinggi dan akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan sasaran itu tercapai.

“Pemain perlu mengambil serius setiap perlawanan kerana kita tidak mahu keciciran mata dalam setiap perlawanan. Sikap memandang lemah lawan hanya akan mengundang padah kepada pasukan,” tegasnya.

SINGKIR... hanya tiga pemain musim lalu dikekalkan.
Sementara itu, Mat Zan turut menjelaskan mengapa hanya tiga pemain daripada pasukan musim lalu dikekalkan bagi musim ini.

“Kriteria pemilihan pemain merangkumi segala aspek. Bagi pemain skuad terdahulu, saya menilai rekod dan laporan yang dikemukakan oleh pegawai dan jurulatih termasuk dari aspek sikap dan komitmen pemain.

“Kita hanya mahu mengambil pemain yang benar-benar jujur dan bersemangat bermain untuk Melaka,” katanya.

Mat Zan juga berharap agar penyokong Melaka bersabar dan terus memberikan sokongan kepada pasukan.

Menurut beliau, siri jelajah ke utara dan rentetan siri perlawanan pra musim adalah medan terbaik untuknya mempersiapkan pasukan yang benar-benar ampuh yang mampu bersaing merebut kejuaraan Liga FAM 2015.

“Kita mengharapkan penyokong agar teguh menyokong pasukan. Dengan sokongan yang tidak berbelah bagi memberikan semangat kepada pemain untuk beraksi di tahap terbaik sekaligus membawa pasukan naik ke Liga Perdana pada tahun hadapan,” katanya.

Foto:-