.

.

LIGA FAM 2015: MELAKA 2-0 MISC-MIFA

Oleh Ahmad S.M Yusof
putbola@gmail.com


Impian Melaka layak ke Liga Perdana 2016 semakin memuncak apabila berjaya membenam cabaran seteru utama Kumpulan B Liga FAM, MISC-MIFA di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput baru-baru ini.

Turun dalam perlawanan wajib menang, anak buah Mat Zan Mat Aris tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila penyerang berbisa, Nurshamil Abdul Ghani berjaya menanduk masuk hantaran silang pada minit ke-11 bagi memberikan Melaka gol pendahuluan.


Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada babak pertama namun kegagalan menyempurnakan peluang terhindang membuatkan keputusan kekal 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Melaka yang menerima sokongan kira-kira 5,000 penyokong di halaman sendiri terus mengatur gerakan demi gerakan pada separuh masa kedua dan gol kedua yang dicari akhirnya menjelma.


Pemain sayap, Mohd. Iskandar bijak memperdaya dua pertahanan MISC-MIFA dari sebelah sayap kiri lawan sebelum meledak jaringan dari luar kotak sekaligus menghadiahkan Melaka kemenangan berharga.


Keputusan itu meletakkan Melaka di tangga kedua di belakang MISC-MIFA namun pasukan Hang Tuah ini masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

Kini, peluang untuk layak ke Liga Perdana tahun hadapan terletak di tangan pemain Melaka sendiri dengan mereka dituntut mengekalkan momentum kemenangan apabila perlawanan bersambung Ogos nanti.

Powered by Blogger.