Ahmad S.M Yusof
putbola@gmail.com
Melaka berjaya mengekalkan momentum kemenangan apabila menundukkan pasukan jiran, Johor Darul Takzim III (JDT III) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam.
Pemain tengah, Hafizan Talib yang menjaringkan gol kemenangan ketika menundukkan Air Asia Allstars minggu lalu sekali lagi menjadi wira Melaka apabila berjaya meledak dua gol bagi membantu Melaka memberi tekanan kepada pendahulu, Misc-Mifa.
Turun menentang skuad muda Harimau Selatan itu, Melaka lebih banyak menguasai perlawanan pada babak pertama dan Hafizan membuktikan dirinya pakar sepakan percuma apabila berjaya menyumbat gol pertama Melaka pada minit ke-13.
Deretan peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan sebaik mungkin pasukan namun Mat Zan Mat Aris mampu menarik nafas lega apabila Hafizan menjaringkan gol kedua pada minit ke-45 bagi meletakkan Melaka selesa di hadapan dengan defisit dua gol.
Separuh masa kedua menyaksikan Melaka gagal mengulangi persembahan menarik seperti babak pertama dengan keputusan kekal hingga ke wisel penamat dibunyikan.