.

.

MELAKA, FRENZ UNITED JALIN KERJASAMA

Oleh Ahmad S.M Yusof
putbola@gmail.com


KERJASAMA... pembabitan FUFC diharap dapat membantu pembangunan bola sepak Melaka.
Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dan Kelab Bola Sepak Frenz United ( FUFC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan tahap kualiti bola sepak di negeri Melaka.

Perjanjian itu menyaksikan FUFC bakal menjadikan Stadium Hang Tuah sebagai gelanggang atau 'kubu' mereka dalam aksi pelbagai kejohanan termasuk Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dan Piala Antarabangsa Frenz (FIC).

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Presiden MUSA, Datuk Seri Ir. Idris Haron dan Presiden Frenz United, Datuk Noor Ihsan dan turut dihadiri Presiden Perbadanan Stadium Melaka, Datuk Yusoff Mahadi.

IDRIS... berusaha mengembalikan maruah bola sepak negeri Melaka.
Idris berkata, Kerajaan Negeri percaya perjanjian tersebut dapat meningkatkan status Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan di negara ini.

"Adalah menjadi satu penghormatan buat negeri ini untuk julung kalinya menganjurkan kejohanan elit bertaraf antarabangsa.

"Kami mempunyai kemudahan bertaraf dunia dan pengurusan yang baik bagi memberi keyakinan kepada FUFC untuk membawa kejohanan besar ke sini," katanya menerusi kenyataan oleh Frenz United.

Sementara itu, Noor Ihsan berkata, perjanjian tersebut merupakan satu sejarah penting bagi kelab itu.
"Perjanjian ini merupakan platform kepada kedua-dua pasukan dalam menjalinkan kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk pertukaran maklumat dan kepakaran bagi membantu pembangunan bola sepak di Melaka.

IKAT PERJANJIAN... situasi menang-menang kedua-dua pihak.
"Terdapat 24 kelab antarabangsa dari sekitar Asia, Eropah dan Amerika Selatan bertanding dalam ACT dan FIC setiap tahun. Kehadiran kelab-kelab tersebut diharap dapat memajukan lagi bola sepak di negeri berkenaan.

"Kami turut merancang mengadakan klinik kejurulatihan bola sepak bagi membantu mningkatkan kualiti di peringkat sekolah,"jelasnya.

Powered by Blogger.