.

.

Analisa: Nurshamil pamer bisa

Oleh Ahmad S.M Yusof
putbola@gmail.com


Berakhirnya dua perlawanan awal Liga FAM 2015 bagi Mac menyaksikan Melaka sekadar berada di kedudukan keempat, di belakang pendahulu, Kedah United serta MISC-MIFA FC dan KL MOF FC yang telah beraksi tiga perlawanan.

Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dalam dua perlawanan ‘wajib menang’ gagal disempurnakan sebaik mungkin anak buah Mat Zan Mat Aris, selepas melepaskan tiga mata berharga ketika menentang KL MOF FC walaupun mendahului lawan pada satu ketika.

Selepas perlawanan, Mat Zan dilaporkan berang dengan sikap sambil lewa aksi pasukan yang rata-ratanya dibarisi pemain muda itu.

Sukar untuk membuat kesimpulan daripada dua perlawanan tersebut namun paling mencuri tumpuan adalah ketajaman penyudah bekas pelatih Harimau Muda B, Nurshamil Abd. Ghani.

Jentera serangan merupakan masalah klise yang membelenggu pasukan sejak diturunkan pangkat ke Liga FAM pada 2011.

Baik daripada zaman Mohd Nazmee Ari, Mohd. Fauzi Kassim hinggalah ke zaman Yusri Abbas, ketumpulan penyudah sering menjadi penentu perlawanan sehinggakan Melaka kekal untuk musim kelima di liga kelas ketiga di negara ini.

Kepulangan Nurshamil sememangnya dinanti-nantikan ribuan penyokong Melaka. Namun, timbul persoalan apakah penyerang muda ini mampu mengekalkan konsisten beliau sepanjang musim ini?

BERBISA... Nurshamil (kiri) menyinar dalam aksi awal bersama Melaka.
Atau menjadi pemain Malaysia tipikal yang sekadar cemerlang di tengah jalan sehingga membawa kepada aksi di bangku simpanan.

Fakta itulah yang membawa kepada jawapan mengapa pasukan-pasukan di Liga Malaysia ini lebih cenderung untuk mengambil penyerang import yang kebiasaannya konsisten sepanjang musim.

Semoga Nurshamil dapat mengekalkan prestasinya selain daripada kerjasama daripada rakan sepasukan bagi mengembalikan maruah pasukan yang telah lama tercalar, menjadi bahan baik di media sosial, juga di mana-mana sahaja.

Seorang lagi pemain yang mencuri tumpuan penyokong pada awal musim ini adalah pemain kelahiran Sabah yang digelar ‘Lionel Messi Melaka’, Rexjeson Pitirus.

LINCAH... Banyak lagi yang boleh ditawarkan oleh pemain kelahiran Sabah ini.
Aksi lincah pemain sayap yang pernah beraksi dengan pasukan dari Penampang, Cebagoo FC itu nyata memberikan nafas di bahagian sayap Melaka dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya yang mampu memberikan ancaman kepada pertahanan lawan.

Namun, menginjak April ini, cabaran getir menanti Melaka apabila akan turun beraksi menentang MISC-MIFA hari ini di Sungai Petani.  Seterusnya, Melaka akan melayan kunjungan Kedah United pada minggu hadapan sebelum bertandang ke Sedang berdepan Air Asia All Star FC.

Melaka bakal menutup aksi April berdepan Johor Darul Takzim III (JDT III) di gelanggang sendiri. Mahu tidak mahu, Melaka wajib menang tiga daripada empat berlawanan ini sekiranya mahu laluan di perlawanan pusingan kedua menjadi mudah.

Andai memilih jalan berliku, tidak hairanlah jika skrip sama saban tahun sejak 2011 bakal berulang. Ayuh bangkit Melakaku. Buktikan kekuasaanmu! Gegau Melaka Gegau!

Powered by Blogger.