.

.

Kolum Penulis: Kekal atau mungkin ditamatkan?



Oleh Wanchel
putbola@gmail.com

Apabila penulis membaca petikan berita yang ditulis saudara Fuad Ramdan dalam akhbar Melaka Hari Ini, timbul satu persoalan mengenai masa depan pengendali Melaka, Mat Zan Mat Aris.

"Saya tidak menolak kemungkinan Mat Zan akan meneruskan perkhidmatannya pada musim Liga Perdana Nanti sekiranya mempunyai keserasian bersama MUSA, penolong jurulatih dan pemain baharu nanti." - Presiden MUSA

Kenyataan yang dikeluarkan orang nombor satu bola sepak Melaka ini seakan-akan memberi gambaran bahawa kontrak Mat Zan tidak akan diperbaharui kerana bergantung kepada kerjasama pengendali itu bersama pengurusan.

Apakah ini menunjukkan bahawa pada musim depan, pengurusan MUSA berkuasa penuh terhadap urusan keluar masuk pemain? Mungkinkah jurulatih tidak berkuasa terhadap banyak perkara? Dan pengendali pengelaman itu perlu akur dengan setiap keputusan?

Mengapa perlu ada perkataan sekiranya mempunyai keserasian? Apakah ini cukup untuk memberi bayangan usaha Mat Zan akan berakhir di sini kerana tidak 'sekepala' dengan pengurusan.

Masih banyak yang perlu dirungkaikan dan dijawab pihak pengurusan selagi Mat Zan masih belum menandatangani kontrak baharu.

Ketika ini, Mat Zan bersama pemain-pemainnya gigih mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan 'hidup mati' bagi membawa pulang piala yang telah lama diidamkan penyokong Melaka sejak 1983.

Namun, adalah tidak adil apabila perkara ini dicetuskan kerana dibimbangi akan merencatkan persiapan yang cuba direncanakan.

Usaha pihak pengurusan wajar diberikan pujian selepas berjaya membawa Melaka kembali ke kancah 'Liga Malaysia' selepas lima tahun menyepi di lembah hina.

Apa yang diperlukan tahun depan adalah 'stability' atau kestabilan dalam pasukan dengan beberapa pemain utama perlu dikekalkan dan diperkuatkan dengan beberapa muka baharu.

Juga pemain import yang berkualiti dan bernilai untuk wang yang dibelanjakan. 

Andai Mat Zan disingkirkan bagi memberi laluan kepada jurulatih yang lebih berpengalaman dan berkredibiliti tinggi yang mampu membawa kestabilan dalam pasukan, amat berbaloi.

Dan jika tindakan itu sebenarnya meletak pisau tajam di pangkal leher, maka lupakanlah. 

Fikir panjang jika tidak mahu mencetak skrip sama yang berlaku kepada satu lagi pasukan berstatus negeri, Kuala Lumpur yang kembali terjerumus ke Liga FAM musim depan.

Masa depan bola sepak Melaka di tangan pengurusan MUSA. Anda yang mencorakkannya.


p/s: Penulis masih belum mendengar nama Melaka United dalam laman web FAM. Apa cerita sebenarnya. Melaka atau Melaka United?
Powered by Blogger.