Pasukan futsal Melaka buat pertama kalinya berjaya menjuarai Sukan Futsal dalam Karnival Permainan Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan yang dilangsungkan di Kuantan, Pahang pada 17 hingga 20 Ogos lalu.
Menurut sumber dari Bernama, pasukan itu berjaya menewaskan 14 pasukan lain sekaligus membawa pulang piala pusingan, medal kemenangan dan sijil.
Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Datuk Saroni Judi berkata, KAYM amat berbangga dengan pencapaian pasukan Melaka yang rata-ratanya dibarisi pelajar kolej tersebut.
“Dengan keazaman yang tinggi serta latihan yang berterusan kami yakin pasukan ini akan terus maju dan berjaya di arena sukan futsal sekaligus menjadi pasukan yang disegani di negara ini,” katanya.
Menurut Saroni, beliau berharap pasukan itu akan terus mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan bagi melahirkan lebih ramai pemain baru untuk diserapkan sebagai pelapis masa akan depan.
Katanya, program seumpama itu akan dapat meningkatkan lagi semangat kesukanan dan memberi peluang kepada pelajar menunjukkan bakat dan menyemarak semangat kesukanan di kalangan warga KAYM.
“Sukan dapat menarik minat generasi muda terutamanya para pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang sihat sekaligus mengurangkan masalah sosial seperti vandalisme dan sebagainya.
“Keupayaan generasi muda jika diasah dengan betul dan diberi ruang serta sokongan yang secukupnya pasti mampu membentuk diri mereka sendiri menjadi orang yang berguna,” jelas beliau.