Melaka United Juara Liga FAM



Oleh Wanchel
putbola@gmail.com

Melaka berjaya menamatkan kemarau kejuaraan sejak 1983 apabila berjaya merangkul kejuaraan Liga FAM2015 selepas menewaskan Perlis 3-2 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Anak tempatan, Nurshamil Abdul Ghani muncul wira Melaka apabila ledakan hatriknya berjaya membenam cabaran Perlis bagi merangkul kejuaraan liga tahap ketiga negara.

Turun beraksi di hadapan kira-kira 30,000 penonton, Perlis yang dibimbing Yusri Che Lah terlebih dulu berada di hadapan menerusi sentuhan penyudah berbisa gergasi utara itu, Syafiq Azmi pada minit ke-15.


Gol tersebut seakan mengejutkan Melaka dari lena dengan jentera serangan yang diketuai Nurshamil mengasak bertubi-tubi menguji benteng Perlis.

Usaha itu nyata membuahkan hasil apabila penyerang kelahiran Melaka itu berjaya menyamakan kedudukan 1-1 tujuh minit sebelum tamat separuh masa pertama.


Mat Zan melakukan perubahan taktikal pada separuh masa kedua dengan memasukkan Ahmad Thaufiq dan Famirul Asyraf dengan menggantikan Zahari Zubir dan Aliff Najmi.

Namun, kealpaan barisan pertahanan Melaka sekali lagi dihukum Syafiq yang berjaya memberikan pendahuluan buat Perlis.


Semangat Hang Tuah bersama pemain Melaka terus membakar semangat juang tuan rumah apabila Shamil menyamakan kedudukan buat Melaka pada minit ke-72 sebelum meledak gol kemenangan pada masa kecederaan, hasil daripada sepakan penjuru.

Ledakan hatrik Shamil berjaya meletakkan namanya sebagai penjaring terbanyak Liga FAM2015 sekaligus menobatkannya sebagai pemenang Kasut Emas Liga FAM2015.


Syabas Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), barisan kejurulatihan dan pemain atas kejayaan ini. Semoga lebih banyak kejayaan pada masa hadapan buat Melaka. Gegau Melaka Gegau!

Foto: MUSA