.

.

PRAMUSIM 2016: MELAKA UNITED 1-0 AIR ASIA ALLSTARS FC


Melaka United membuka siri pramusim 2016 dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan pasukan Liga FAM, Air Asia Allstars FC dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Gol kemenangan pasukan Melaka dijaringkan oleh penyerang import baharu, Illija Spasojevic pada babak kedua permainan selepas kedua-dua pasukan buntu mencari gol di separuh masa pertama.

BOJOVIC... masih tercari-cari keserasian di jentera tengah bersama Labinot Harbuzi.
Selepas merekodkan dua kekalahan berturut-turut dalam siri Jelajah Vietnam bulan lalu, jurulatih Melaka, Mat Zan Mat Aris berpeluang menurunkan keempat-empat tonggak importnya bagi berdepan Air Asia Allstars FC yang dibimbing Nizam Jamil.

Walaupun menguasai perlawanan, Melaka United dilihat masih lagi tercari-cari rentak dan keserasian antara pemain dengan beberapa gerakan yang cuba diatur gagal menghasilkan sebarang cubaan berbahaya.

KAPTEN... Spasojevic muncul wira sumbang gol tunggal perlawanan dalam debutnya bersama Melaka United.
Sebaliknya, benteng pertahanan Melaka United yang diterajui Shin Jaepil kental bagi menangkis setiap asakan lawan. 

Gol tunggal perlawanan terhasil melalui sepakan percuma dari sebelah kiri gawang Air Asia Allstars FC dengan Spasojevic mengambil peluang daripada kegagalan pertahanan lawan mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti apabila mudah menolak masuk gol debutnya.

Banyak lagi yang perlu diperbaiki sebelum bermulanya kempen Liga Perdana. Keserasian antara pemain menjadi keutamaan menerusi beberapa perlawanan persahabatan yang perlu diadakan sebelum sepak mula Liga Malaysia bermula.


Powered by Blogger.