.

.

LIGA PERDANA 2016: SIME DARBY FC 2-2 MELAKA UNITED

PUAS... Nurshamil menjaringkan gol penyamaan Melaka United pada minit-minit akhir perlawanan. Foto: MUSA.
Melaka United membuka tirai kempen Liga Perdana 2016 dengan keputusan seri selepas berjaya mengikat Sime Darby FC 2-2 di Stadium Selayang, malam tadi.

Selepas lima tahun menyepi dalam kancah berprestij negara, Melaka United terlebih dahulu ketinggalan apabila pemain import Sime Darby, Frederic Pooda mudah menanduk masuk gol pertama tuan rumah pada minit ketiga perlawanan.

Tersentak dengan gol awal lawan, Melaka United bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma padu daripada pemain import dari Montenegro, Balsa Bozovic pada minit ke-18.

Kegembiraan penyokong Melaka United tidak berpanjangan apabila Pooda sekali lagi menjadi duri dalam daging Melaka apabila menyumbat gol kedua peribadinya menerusi cubaan deras dari luar kotak yang terbias pertahanan lawan sekali gus menewaskan penjaga gol Melaka United, Syazwan Yusof.

Ketika perlawanan hampir memihak kepada tuan rumah, Melaka berjaya mencuri satu mata berharga selepas pemenang kasut emas Liga FAM 2015, Nurshamil Abdul Ghani menyumbat gol penyamaan pada minit kedua masa kecederaan.

Satu mata penting dari gelanggang lawan untuk dijadikan tonik anak buah Mat Zan Mat Aris bagi mengharungi kempen yang penuh mencabar musim ini. Ayuh bangkit Melaka United. Gegau Melaka Gegau!
Powered by Blogger.