.

.

ATM BUKAN TANDINGAN MELAKA UNITED

LEDAK... Spasojevic kekal konsisten di depan gawang lawan. Foto: MUSA
MELAKA 21 Mei - Ledakan hatrik penyerang prolifik Melaka United, Illija Spasojevic membantu pasukannya menundukkan ATM FA, 3-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Masih segar dengan kemenangan besar 6-0 ke atas lawan sama minggu lalu, di atas kertas segalanya tampak mudah bagi anak buah Mat Zan Mat Aris.

Melaka United tidak menunggu lama selepas sepak mula apabila berjaya memperoleh gol sulung menerusi jaringan Spasojevic pada minit kelapan.

Sembilan minit berselang, Spasojevic sekali lagi menemui gawang untuk gol kedua tuan rumah.

Penyerang yang berasal dari Montenegro itu sekali lagi menjadi pemusnah ATM FA apabila melengkapkan hatrik selepas sekali lagi meledak pada minit ke-22  untuk gol ketiga Melaka United.

Sikap terlalu yakin dan memandang rendah pasukan tangga tercorot Liga Perdana itu hampir memakan diri apabila pelawat memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi jaringan pemain sayap, Venice Elpi pada minit ke-56.

Kemenangan tersebut meletakkan Melaka United kembali ke persada Liga Perdana dengan 27 mata, meninggalkan pasukan jiran, Negeri Sembilan dan Johor Darul Takzim II (JDT II) masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.
Powered by Blogger.