DUA PEMAIN DIPINJAMKAN KE SAMB FC

PINJAM... Syazwan sertai SAMB FC hingga akhir musim ini. Foto: MUSA
MELAKA 11 Mei - Dua pemain Melaka United sah dipinjamkan ke pasukan 'adik', SAMB FC secara pinjaman sehingga akhir musim ini.

Pemain tersebut adalah Syazwan Nordin dan Shahir Ismail yang dijangka mampu memperkuatkan SAMB FC dalam musim pertama di Liga FAM.

Keputusan Mat Zan Mat Aris melepaskan kedua-dua pemain berkenaan adalah keputusan yang sudah dijangka kerana mereka gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama Melaka United.

Dilepaskan secara pinjaman, ini merupakan peluang kepada kedua-dua pemain membuktikan kemampuan diri masing-masing terutama Syazwan yang perlu segera mengembalikan ketajaman penyudahnya.

"Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) ingin mengucapkan semoga berjaya kepada Syazwan dan Shahir yang dipinjamkan ke pasukan SAMB FC," kata MUSA dalam status terbaharu Facebook rasmi persatuan itu.

Sementara itu, difahamkan pemain pertahanan SAMB FC, Ahmad Khuzaimi Piee atau Jimmy bakal menyertai Melaka United.

Tidak dapat dipastikan sama ada perpindahan tersebut secara pinjaman atau kekal.

Jimmy yang merupakan produk Melaka United berhijrah ke PKNS FC pada dua musim lalu sebelum kembali menyertai pasukan yang bertapak di Stadium Hang Tuah itu musim ini.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada Melaka United.