.

.

Yashir, Alex masih dalam penilaian


MELAKA 21 Jun - Jurulatih Melaka United, Mat Zan Mat Aris masih dalam proses menilai prestasi dua tonggak import, Yashir Pinto dari Palestin dan pertahanan Romania, Alex Todose sebelum menawarkan kontrak kepada kedua-dua pemain tersebut.

Pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pemain import tersebut perlu membuktikan kualiti yang dimiliki dengan menterjemahkan aksi konsisten berbanding dua tonggak imp
ort terdahulu.

Selain itu, kata beliau, kehadiran beberapa tonggak tempatan diharap dapat membantu memperkuatkan pasukan dalam menghadapi baki kempen Liga Perdana dan saingan Piala Malaysia kelak.

“Pemain import seperti Yashir yang bermain di posisi penyerang dan Alexandru Tudose (pertahanan) harus bermain lebih baik daripada pemain import yang sebelumnya. Kemasukan pemain tempatan seperti Ferris Danial, Reeshafiq Alwi dan Ahmad Khuzaime diharap dapat membantu pasukan.

“Jika pengurusan berpuas hati dengan prestasi mereka, proses menandatangani kontrak akan dilakukan segera bagi mengelakkan pemain-pemain ini dipancing pasukan lain.” katanya dalam status terbaharu Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) hari ini.

Yashir berjaya menjaringkan gol dalam aksi persahabatan menentang pasukan Liga Super, Selangor yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Melaka United akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan menentang ATM FA pada 25 Jun dan Pahang (2 Julai) sebelum kembali meneruskan saingan kempen Liga Malaysia.

Sementara itu, Yusoff berkata, sasaran yang ditetapkan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron untuk layak ke peringkat separuh akhir adalah satu misi yang perlu dilaksanakan.

“Perlawanan menentang Felda United agak sukar tetapi pasukan Melaka United mempunyai peluang sama rata dengan Terengganu FA dan Negeri Sembilan. Diharapkan dengan kemasukkan pemain-pemain baharu ini dapat memberi kejutan kepada pasukan-pasukan yang beraksi di Piala Malaysia dan Liga Perdana,” ujarnya.
Powered by Blogger.