.

.

Kebangkitan dramatik kukuhkan Melaka United di persada liga


Melaka United mempamerkan kebangkitan terbaik sepanjang musim ini apabila mencatat kemenangan penuh dramatik, 4-3, ke atas Kuantan FA di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Segalanya tampak sukar bagi pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris apabila ketinggalan seawal minit pertama hasil jaringan pemain Kuantan FA, Shazalee Ramlee.

Tersentak dengan gol tuan rumah, Melaka United bangkit menyamakan kedudukan menerusi penjaring terbanyak Liga Perdana, Illija Spasojevic pada minit ke-27.


Belum pun sempat menarik nafas lega, Kuantan FA sekali lagi menghukum pelawat menerusi jaringan kedua pada minit ke-30 namun pertahanan Melaka United, Alex Tudose berjaya menyamakan kedudukan empat minit selepas itu.

Shazalee sekali lagi menjadi duri dalam daging Melaka United apabila meledak gol kedua pada minit ke-36.


Pasukan pelawat mula mempamerkan kebangkitkan pada babak kedua apabila Melaka United menyamakan kedudukan, 3-3, hasil jaringan Yashir Pinto.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri, Tudose muncul wira Melaka United apabila menjaringkan gol keempat pelawat pada minit ke-90.

Keputusan ini meletakkan Melaka United selesa di persada Liga Perdana dengan 36 mata daripada 15 perlawanan, meninggalkan JDT 2 di tangga kedua dengan 31 mata.

Terdahulu, JDT 2 tunduk kepada Perlis, 0-1, di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Melaka United bakal melayan kunjungan Felda United bagi perlawanan ketiga kumpulan D Piala Malaysia yang dijadualkan pada Jumaat ini (27 Julai).

Powered by Blogger.