Kealpaan penghujung permainan dihukum lawan


Anak jati Melaka, Mohd. Shukor Adan menjadi pemusnah pasukan tanah tumpah darahnya apabila jaringan tunggal kapten Felda United itu membantu pasukannya menang tipis 1-0 ke atas Melaka United dalam aksi Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pelawat dilihat lebih banyak mencipta gerakan berbahaya namun seringkali dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Melaka United, Ahmad Solehin Mamat.

Peluang terbaik Felda United muncul pada minit keempat menerusi penyerang, Francis Forkey Doe yang berjaya melepasi perangkap offside namun cubaannya terkena kaki Ahmad Solehin biarpun penjaga gol itu sudah tertewas.

Tindakan susulan Forkey Doe pula selepas itu hanya singgah di tiang kiri Melaka United.

Zah Rahman pula hampir memberikan Felda United gol pertama di penghujung babak pertama namun cubaannya dari luar kotak berjaya ditangkis dengan baik Ahmad Solehin pada minit ke-45.

Christie Jayaseelan pula terlepas peluang terbaik di babak kedua apabila cubaannya dari jarak dekat diselamatkan Ahmad Solehin pada minit ke-53.

PENALTI... Pengadil enggan menghadiahkan sepakan penalti kepada Melaka biarpun jelas Mohd. Iskandar Hanapiah dijatuhkan dalam kotak penalti Felda United.
Ahmad Solehin sekali lagi menjadi wira Melaka United apabila berjaya menyelamatkan cubaan Forkey Doe pada minit ke-68 bagi memastikan gawangnya tidak dibocori sebarang gol.

Selang seminit kemudian, bekas penjaga gol Harimau Muda itu terpaksa diusung keluar susulan rempuhan Forkey Doe sebelum itu dan digantikan Mohd. Syazwan Yusoff.

Peluang terbaik Melaka United hadir menerusi pemain gantian, apabila Jasmir Mehat yang berjaya melepasi perangkap offside namun hantaran silangnya diselamatkan penjaga gol Felda United, Mohd. Farizal Harun.

Ketika perlawanan seakan berakhir tanpa jaringan, Shukor Adan memastikan tiga mata penuh milik pelawat apabila menanduk masuk gerakan sepakan penjuru pada minit ke-87. 

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut Melaka United dalam kempen Piala Malaysia selepas tunduk 2-3 kepada Negeri Sembilan di Stadium Paroi, baru-baru ini.

Foto: MUSA