.

.

Spaso tolak laporan kembali ke Persib Bandung


Kapten Melaka United, Illija Spasojevic menyangkal hasrat bekas majikannya, Persib Bandung untuk kembali ke pangkuan kelab Indonesia tersebut.

Mengulas laporan portal Viking Official, Spasojevic berkata, minat yang ditunjukkan pengendali Persib Bandung, Djadjang Nurdjaman merupakan satu penghormatan buat beliau.

Namun, bagi penyerang berasal dari Montenegro itu, fokus utamanya kini hanya terarah kepada menjulang kembali nama Melaka United sekali gus membawa pasukan selatan tanah air ini kembali beraksi di Liga Super.

"Satu penghormatan apabila salah seorang jurulatih terbaik di Indonesia menunjukkan penghargaan atas hasil usaha saya.

"Saya tidak pernah melupakan Bandung dan Indonesia tetapi ketika ini fokus saya adalah membawa Melaka United ke Liga Super. Terima kasih penyokong (bobotoh) yang sentiasa menyokong walau dimanapun saya berada," kata Spasojevic menerusi catatan terbaharu Facebooknya hari ini.

Spasojevic pernah beraksi untuk beberap kelab di Indonesia dan yang terakhir menjulang Piala Presiden 2015 bersama Persib Bandung.

Penyerang berusia 29 tahun itu menyerlah bersama Melaka United selepas meledak 17 gol sepanjang musim ini sekali gus memadam rekod jaringan semusim lagenda, Halim Jantan.
Powered by Blogger.