.

.

Momentum kemenangan kini kembali


Melaka United meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Liga Perdana selepas menundukkan Perlis, 3-1, di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Bagi pertemuan menentang pasukan bimbingan Dollah Salleh, jurulatih Melaka United, Mat Zan Mat Aris melakukan rombakan di barisan pertahanan selepas tunduk kepada Felda United minggu lalu.

Penjaga gol simpanan, Mohd. Fadley Rahim dipilih menjaga gawang Melaka United sementara, Khair Jones kembali dalam kesebelasan utama.

Pada pertemuan pusingan pertama kedua-dua pasukan di Kangar menyaksikan kebangkitan lewat permainan Perlis sekali gus menewaskan Melaka United, 2-1 di halaman sendiri.

Pelawat terlebih dahulu di hadapan menerusi Mohd. Alafi Mahmud pada minit ke-16 namun kelebihan itu pantas dipadam skipper Melaka United, Illija Spasojevic dua minit kemudian.

Spasojevic sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menjaringkan gol kedua Melaka United pada minit ke-40 bagi meletakkan pasukannya 2-1 di hadapan.

Babak kedua menyaksikan Melaka United terus melebarkan jaringan menerusi jaringan minit ke-52 oleh penyerang import, Yashir Pinto.

Perlis terpaksa beraksi dengan 10 pemain di penghujung permainan selepas V. Thirumurugan dibuang pada minit ke-89.

Kemenangan ini meletakkan Melaka United di tangga teratas dengan 39 mata daripada 16 perlawanan dan diikuti rapat JDT II, dengan 34 mata serta PKNS FC (31).
Powered by Blogger.