.

.

Cemas sebelum benam UITM FC


Melaka United mempamerkan persembahan 'ala yo-yo' sebelum berjaya menundukkan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, petang tadi.

'Penyakit' bermain di sebelah petang banyak memberi kesan terhadap pasukan apabila pemain-pemain gagal menjelmakan permainan berkualiti sepanjang permainan.

Turun sebagai pasukan pilihan, Melaka United dijangka mendapat laluan mudah untuk meraih tiga mata menentang pasukan bawahan Liga Perdana itu.

Sebaliknya, UiTM FC terlebih dahulu berada di depan pada minit ketiga menerusi jaringan mudah John Landa Matkin.

Gol tersebut berpunca daripada kesilapan mudah penjaga gol, Mohd. Syazwan Yusoff yang gagal menangkap hantaran silang lawan sekali gus membuka ruang kepada Matkin untuk menjaringkan gol buat pasukan baharunya.

Untuk rekod, Melaka United kerap melepaskan gol dalam 10 minit pertama sepanjang musim ini dan dianggarkan perkara ini berlaku dalam kira-kira 10 perlawanan.

Melaka United bangkit menyamakan kedudukan menerusi kapten, Illija Spasojevic pada minit ke-12 yang mudah melepasi kawalan pertahanan UiTM FC sebelum menolak mudah bagi gol penyamaan pelawat.

Permainan longlai dipamerkan Melaka United selepas itu dengan gerakan demi gerakan yang diatur dari bahagian tengah sering tersangkut sementara cubaan barisan serangan liar melepasi gawang tuan rumah.

UiTM FC kembali di hadapan sebaik sepak mula separuh masa kedua bermula menerusi gerakan serangan balas pantas yang diatur yang menyaksikan Nik Syafiq meledak pada minit ke-48.
TERJAH... Mohd. Iskandar dihalang pertahanan UiTM namun pengadil enggan menghadiahkan sepakan penalti.
Gol tersebut berpunca daripada keengganan pengadil menghadiah sepakan penalti kepada Melaka United selepas Mohd. Iskandar Hanapiah dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan lawan.

Spasojevic sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring gol apabila melakukan cubaan cantik dari luar kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-55.

Ketika pelawat dilihat sukar menembusi pertahanan UiTM FC, Spasojevic berjaya menggembirakan penyokong Melaka United menerusi jaringan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-74.

KAWAL... Matkin cuba melepasi barisan pemain Melaka United.

Tiga mata dari gelanggang lawan ini penting dalam memastikan usaha Melaka United kembali ke Liga Super musim depan terlaksana.
Melaka United di tangga teratas Liga Perdana dengan 42 mata daripada 17 perlawanan, diekori rapat JDT II (37) dan PKNS FC (33).

Tiga lagi kemenangan dan satu seri dalam baki lima perlawanan akan menobatkan Melaka United sebagai juara Liga Perdana namun segalanya kini terletak di tangan pasukan untuk menentukannya.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.