Spasojevic kunci mulut isu perpindahan


Kapten Melaka United, Ilija Spasojevic mengambil langkah mengunci mulut enggan mengulas khabar angin perpindahannya ke pasukan Liga Super musim depan.

Menerusi status terbaharu penyerang berasal dari Montenegro itu, Spasojevic dilihat mengambil jalan tengah untuk tidak mengiakan atau menafikan berita tersebut seperti yang dilakukannya ketika dia dikaitkan semula dengan kepulangan ke Persib Bandung.

Sebaliknya, Spasojevic mengajak penyokong Melaka United untuk melupakan khabar itu dan memberi tumpuan kepada perlawanan penting menentang Johor Darul Takzim (JDT II), Jumaat ini.

"Mari kita abaikan khabar angin dan tertumpu pada membuat sejarah. Satu lagi langkah... #Juara," katanya dalam status terbaharunya itu.

Ketajaman penyudah dan konsistensi yang dipamerkan Spasojevic bersama Melaka United musim ini telah menarik minat beberapa kelab Liga Super untuk mendapatkan penyerang itu.

Antara pasukan yang dikhabarkan berminat mendapatkan Spasojevic adalah juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor, Kedah dan Terengganu.

Sehingga kini, masih tiada sebarang jaminan penyerang itu bahawa dia akan kekal di Melaka United untuk musim depan.

Dalam pada itu, Melaka United dilaporkan akan berbelanja besar musim depan bagi memperkukuhkan pasukan sedia ada.

Menurut sumber, pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air ini berminat memancing beberapa nama besar yang kini beraksi di Liga Super termasuk beberapa pemain Kelantan.