.

.

Labi akhirnya minta maaf

BEKAS tonggak import Melaka United, Labinot Harbuzi atau Labi hari ini memohon maaf kepada pengurusan dan penyokong atas status Facebook yang pernah dimuat naiknya sebelum ini yang mendakwa pasukan masih lagi berhutang dengannya.

Namun, menerusi status terbaharu Labi hari ini, pemain kelahiran Sweden itu berkata, pihak pengurusan menerusi ada menghubunginya bagi menjelaskan tuntutannya yang merupakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

MAAF... Labi (kiri) bergambar bersama bekas rakan sepasukan, Alexandru Tudose sebelum berangkat pulang ke Sweden. Foto: Labinot Harbuzi
Menurut Labi, tindakannya sebelum ini tidak bermaksud mencalarkan imej Melaka United apatah lagi melukakan hati penyokong kelab.

"Ini tidak bermakna saya mahu melukakan atau mencalarkan reputasi Melaka United. Mempunyai satu musim yang terbaik bersama kelab dengan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan menakjubkan serta pasukan yang konsisten mencatat keputusan baik.

"Bagaimanapun, jika anda semua melihat saya melakukan kesilapan, saya memohon maaf atas apa juga yang berlaku. Saya mengucapkan semoga berjaya kepada pemain, pengurusan dan penyokong Melaka United dan diiringi kejayaan.

"Selamat tahun baharu dan semoga berjaya di musim baharu Liga Super," kata Labi dalam status terbaharu Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Melaka United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menggelarkan tindakan Labi sebagai sesuatu yang 'nakal' apabila mengeluarkan kenyataan tersebut.
Powered by Blogger.