Labi dakwa belum terima bayaran tertunggak


BELUM pun bermula kempen Liga Malaysia musim ini, Melaka United dikejutkan dengan pendedahan yang buat oleh bekas tonggak import, Labinot Harbuzi.

Harbuzi atau lebih dikenali sebagai Labi menerusi status terbaharu akaun Facebooknya mendakwa juara Liga Perdana itu masih belum menjelaskan bayaran tertunggak.

Menurut pemain kelahiran Lund, Sweden itu berkata, perkara tersebut sudah dibawa kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Proses menuntut duit (bayaran) dimana mereka masih berhutang dengan ketika beraksi bersama Melaka United. Sekarang segalanya terletak di tangan FIFA. 

"Saya akan memberikan lebih maklumat (mengenainya) dalam masa terdekat," kata Labi.

Dalam pada itu, Labi memberitahu, tarikh akhir yang diberikannya kepada Melaka United untuk menyelesaikan perkara tersebut adalah pada 30 November lalu.

"Saya bagi mereka peluang. Semua dalam pengurusan mengabaikan (tuntutan) saya. Saya minta maaf kepada penyokong (atas apa terjadi) tetapi apa yang menjadi hak saya akan tetap hak saya.

"Apa yang saya mahukan adalah duit seperti yang terkandung dalam persetujuan, bukan RM1 tapi lebih," ujarnya.

Labi merupakan antara watak penting Melaka United musim lalu dalam mengharungi musim Liga Perdana walaupun terpaksa diketepikan dalam beberapa perlawanan awal akibat kecederaan.

Pemain berusia 30 tahun itu membentuk keserasian bersama kapten, Ilija Spasojevic menerusi gerakan dan hantaran cantiknya yang membawa kepada beberapa jaringan pasukan musim lalu.

Namun, tiada sebarang bukti yang disertai Labi mengenai dakwaan tersebut dan pengurusan Melaka United perlu mengeluarkan kenyataan segera berhubung status terbaharu pemain tersebut.