BUKAN enam jahanam, tapi lima yang kecewa. Itu yang dapat disimpulkan pengendali baharu Melaka United, Eric Williams mengenai prestasi lima pemain yang gagal menepati tahap atau piawaian yang ditetapkan.
Menurut Williams, prestasi pemain tersebut bukan sahaja dinilai ketika aksi persahabatan menentang Felcra FC baru-baru ini malah ketika mereka menjalani latihan bersama pasukan.
Bekas jurulatih Yangon United itu menegaskan bahawa beliau tidak mahu pemain-pemain tersebut sekadar menjadi penumpang dalam skuad bimbingannya.
"Semua pemain diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Felcra FC dan saya mendapati, corak permainan mereka kurang sesuai dengan apa yang saya praktikkan.
"Persembahan mereka pula jauh daripada jangkaan walaupun masing-masing adalah antara pemain yang bakal menjadi tunjang pasukan. Saya beri mereka peluang termasuk ketika sesi latihan namun mereka gagal," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Masa depan kelima-lima pemain itu bersama Melaka United kian samar apabila Williams memberitahu mereka akan dipinjamkan ke beberapa kelab termasuk Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang akan beraksi di Liga FAM musim depan.
FOKUS... Pemain Melaka United giat menjalani latihan dibawah kendalian Eric Williams. |
"Jika persetujuan dicapai, pemain tersebut akan diganti dengan muka baharu yang difikirkan sesuai dan menepati kehendak pasukan," kata jurulatih tersebut.
Persoalannya, siapa lima pemain tersebut?
Foto: FB Musa