.

.

Mungkinkah Zaquan Adha ke Melaka United?


JIKA beberapa tahun lalu, jangankan pemain Liga Super malah pemain yang memanaskan bangku simpanan Liga Perdana pun enggan sertai Melaka United atau duhulunya dikenali sebagai Melaka.

Mana tidaknya, ketika itu pasukan ditadbir oleh golongan yang tidak meminati bola sepak apatah lagi mahu berusaha menarik penajaan daripada syarikat tempatan mahupun luar negara.

Namun, segalanya berubah apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Ir. Idris Haron mengambil alih tampuk pentadbiran Persatuan Bola Sepak Melaka.

Pada musim pertama di bawah kendalian jurulatih luar, Latko Tatkovic tidak membawa sebarang perubahan kepada pasukan, kecuali proses penjenamaan semula pasukan kepada yang lebih baik.

Cepat belajar daripada kesilapan, pengurusan Melaka United akhirnya 'mempelajari' sesuatu dan pemilihan Mat Zan Mat Aris merupakan satu langkah tepat dalam mengembalikan pasukan di landasan yang tepat bagi mencipta kejayan.

Hari ini, dengan kejayaan 'ekspres' yang dibawa Mat Zan membuatkan Melaka United menjadi pilihan bintang-bintang bola sepak tempatan untuk mencuba nasib di bumi Hang Tuah.

Bermula dengan kemasukan Izzaq Faris Ramlan hinggalah kepada kedatangan Mohd. Amri Yahyah, penyokong Melaka United musim depan mungkin dapat menyaksikan seorang lagi nama besar menyertai pasukan itu.

AMRI... Bakal jadi sandaran jentera serangan Melaka United musim depan.
Timbalan Presiden Melaka United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi ketika ditemubual Nadi Arena memberitahu, bekas pemain sayap Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Zaquan Adha Abdul Razak berminat menyertai Juara Liga Perdana itu.

Malah, Mohd. Yusof juga mengesahkan pasukannya telah mengadakan rundingan dengan pemain berusia 29 tahun itu untuk menyertai skuad kendalian Eric Williams itu musim depan.

Namun menurut Mohd. Yusoff, sehingga kini pihaknya masih belum mendapatkan sebarang kata putus daripada pemain kebangsaan itu.

"Pada dasarnya, dia nampak berminat untuk mewakili Melaka. Saya pun telah membuat tawaran kepadanya. 

"Kini terpulang kepadanya untuk membuat keputusan sama ada ingin bersama Melaka ataupun pasukan lain kerana saya juga difahamkan dia turut menerima beberapa tawaran lain.

"Jadi, kami hanya boleh menawarkan tempat dan itu terpulang kepada pemain berkenaan untuk menentukan masa depan mereka masing-masing. 

"Saya fikir dengan adanya Zaquan, mungkin kami dapat memberi lebih pilihan kepada jurulatih kami untuk berhadapan dengan lawan-lawan tertentu," ujarnya.

Foto: FB MUSA, Media Sosial
Powered by Blogger.