.

.

PKNP ikat Melaka United


DUA kali bangkit daripada ketinggalan cukup menjelaskan segalanya.

Banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki ketua jurulatih, Erics Williams apabila pasukan bimbingannya melepaskan dua gol mudah kepada pendatang baharu Liga Perdana, PKNP FC di Stadium Hang Tuah, semalam.

Masih terlalu awal untuk menilai keseluruhan pasukan namun aksi pramusim ini merupakan medan terbaik kepada Williams untuk mengenalpasti kebolehan setiap pemain dalam melaksanakan taktikal yang diterapkan.

Dengan hanya membariskan seorang sahaja tonggak import dalam kesebelasan utama, Godwin Antwi, Melaka United terlebih dahulu ketinggalan apabila jentera tengah mudah kehilangan bola sekali gus membuka ruang kepada pelawat memperoleh gol pertama pada minit ke-19.

Melaka United berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33 apabila penyerang, Mohd. Fauzi Roslan menanduk masuk hantaran silang G. Puaneswaran hasil gerak dari bawah yang dimulakan Antwi.

Namun, dua minit berselang, PKNP sekali lagi di hadapan apabila rembatan dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Melaka United untuk memberikan gol kedua pelawat.
Kemasukan dua tonggak, Mohd. Amri Yahyah dan Sergio Aguero pada 20 minit terakhir memberi impak besar terhadap persembahan pasukan.

Hasilnya, pada minit ke-79, Melaka United menyamakan kedudukan menerusi kapten, Ilija Spasojevic yang mudah menolak masuk hantaran silang Amri, biarpun bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dikasari pertahanan lawan dalam kotak penalti.

Melaka United bakal bertemu JDT II dalam aksi pramusim ketiga.



Foto: MUSA
Powered by Blogger.