.

.

Spasojevic kekal bersama Melaka United


MELAKA United memperoleh tonik paling berharga menjelang pembukaan kempen Liga Malaysia apabila penyerang sensasi, Ilija Spasojevic mengumumkan untuk kekal bersama Juara Liga Perdana itu musim depan.

Menerusi akaun Facebook rasminya, Spasojevic atau lebih dikenali sebagai Spaso menafikan segala khabar angin mengenai perpindahannya ke kelab Liga Super lain sebaliknya berikrar untuk bersama Melaka United.

"Banyak kenyataan dan spekulasi palsu mengenai masa depan saya. Di atas rasa tanggungjawab, saya mengumumkan untuk terus kekal beraksi bagi pasukan Melaka United musim depan.

"Setelah menjaringkan 27 gol pada musim lepas, saya amat berbangga apabila banyak kelab di Malaysia telah membuat tawaran untuk khidmat saya tetapi saya sayangkan Melaka United.

"Hasrat saya adalah untuk bermain di Melaka selagi khidmat saya masih diperlukan," kata Spasojevic menerusi status terbaharu di akaun Facebooknya hari ini.

Menurut penyerang yang berasal dari Montenegro itu, beliau telah memaklumkan kepada pengurusan untuk menolak semua tawaran yang diterima kerana fokusnya ketika ini adalah untuk mengetuai Melaka United mencapai pelbagai kejayaan.

Inilah antara sebab mengapa Spasojevic amat disenangani dalam kalangan penyokong kelab-kelab yang pernah dia beraksi di Indonesia.

Pengumuman penting ini nyata memberikan suntikan terbaik buat pasukan bimbingan Eric Williams bagi merencanakan perancangan terbaik bagi Melaka United.

Williams semalam selepas aksi pramusim antara Melaka United dan Felcra FC memberitahu, dia bakal mencuba kombinasi serangan tiga serangkai yang membabitkan Spasojevic, Mohd. Amri Yahyah dan Sergio Aguero.

Selain itu, pengurus tersebut juga memberitahu bakal menerapkan corak permainan hantaran pendek dan through pass untuk pasukan Melaka United.

Mungkin memerlukan masa bagi menerapkan falsafah permainan bola sepak seperti ini dan penyokong Melaka United perlu bersabar dan terus berada di belakang pasukan bagi menghadapi kempen Liga Super musim depan. 

Powered by Blogger.