Tindakan nakal Labi - Mohd. Yusoff


TINDAKAN bekas tonggak import Melaka United, Labinot Harbuzi atau lebih dikenali sebagai Labi disifatkan satu perbuatan nakal pemain tersebut.

Bercakap kepada Astro Arena, Timbalan Presiden Melaka United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pemain kelahiran Sweden itu sepatutnya menghubungi atau datang berbincang dengan pengurusan berhubung perkara tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Labi menggunakan media sosial untuk mendedahkan isu tersebut yang kononnya sudah sampai ke pengetahuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Saya baru dapat tahu berita ini. Sebenarnya tiada mana-mana pemain pun yang kami bayar bonus kemenangan itu. Jadi, ini satu perbuatan yang dianggap nakal kerana sepatutnya dia datang berbincang dengan ejennya serta kami.

"Kami akan menyelesaikan bonus pemain apabila kami bersedia," kata Yusof ketika mengulas dakwaan itu.