Tundukkan Felcra FC, masih banyak ruang perlu diperbaiki


PENGENDALI Melaka United, Eric William membuka aksi pramusim bersama pasukan baharunya itu dengan rentak kemenangan apabila berjaya menundukkan lawan dari Liga FAM, Felcra FC di Stadium Hang Tuah, semalam.

Membariskan kebanyakan muka baharu dalam kesebelasan utamanya seperti Tam Sheang Tsung, Godwin Antwi, Izzaq Faris Ramlan, Khairu Azrin Khazali dan beberapa lagi pemain, pemain-pemain Melaka United dilihat masih lagi mencari keserasian antara mereka selain menerapkan corak permainan hantaran pendek yang digunakan Williams.

Pada babak kedua, Williams mengeluarkan kesemua pemain dan menggantikan dengan kesebelasan baharu dan kebuntuan jaringan akhirnya berakhir apabila Alif Samsudin bijak melakukan sepakan deras lencong dari luar kotak yang singgah ke bawah palang gol lawan sebelum menerjah jaring pada minit ke-55.

Penyerang gantian, Nurshamil Abdul Ghani membuktikan ketajaman penyudahnya apabila berjaya meledak gol kedua Melaka United menerusi gerakan satu-dua dengan Mohd. Fauzi Roslan biarpun percubaan pertamanya berjaya diselematkan penjaga gol lawan pada minit ke-78.

Masih terlalu awal untuk meramal sejauh mana kemampuan Melaka United kerana pasukan bimbingan Williams ini akan menghadapi beberapa lagi siri persahabatan sebelum bermulanya kempen Liga Super 2017.



Foto: FB MUSA