BUKAN KUDA TUA... Itu penegasan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi terhadap laporan sebuah akhbar tabloid yang secara terbuka menggelarkan Melaka United sebagai destinasi kuda tua.
Sebaliknya, Yusoff berkata, kehadiran bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Mohd. Amri Yahyah itu ke Stadium Hang Jebat bakal memberikan satu impak besar kepada pasukan bukan sahaja di padang, malah di bilik persalinan.
"Amri bukan kuda tua tetapi adalah 'kuda gagah berani' kerana walaupun usia meningkat tetapi prestasi beliau lebih baik daripada pemain-pemain muda.
"Kehadiran Amri dapat dimanfaatkan Melaka United kerana pemain muda dapat menimba ilmu dari pengalamannya yang pernah bermain di peringkat tertinggi di Liga Malaysia," katanya dalam kenyataan di laman Facebook MUSA hari ini.
AMRI... bakal memperkuatkan jentera serangan Melaka United musim depan. |
Selain itu, beberapa pemain berpengalaman dan muda dibawa masuk untuk diadun sebagai satu pasukan yang ampuh sekali gus mampu bersaing dengan pasukan Liga Super lain.
Antara muka baharu Melaka United adalah Sergio Aguero, Omid Nazari, Godwin Antwi, Fauzi Roslan, Izzaq Faris Ramlan, Faizal Muhammad dan beberapa lagi.
Foto: FB MUSA, Utusan Online