Jodoh Omid di Melaka United tak kekal lama


BELUM pun lagi sempat memahat namanya di hati penyokong bola sepak Melaka United, pemain tengah berasal dari Sweden, Omid Nazari kini terpaksa melupakan hasrat untuk terus menabur bakti bersama skuad Hang Tuah itu musim ini.

Ini berlaku selepas pemain import baharu Melaka United itu digugurkan pasukan atas faktor kesihatan yang kecergasan yang membelenggu dirinya sejak tiba ke negeri itu.

Omid yang dibawa masuk bagi mengggantikan Yashir Pinto untuk kuota pemain import Asia gagal menepati ramalan dan reputasinya sepanjang beraksi bersama pasukan dalam aksi pramusim.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, keracunan makanan yang dihadapi pemain yang berasal dari Sweden itu pada awal musim sedikit sebanyak mengganggu prestasinya.

"Diakui pemain kelahiran Sweden itu berada pada prestasi membanggakan sebelum ini, namun keadaannya berubah selepas dikatakan mengalami masalah keracunan makanan .

"Situasi tersebut menyebabkan kelibatnya tidak dapat ditagih pada perlawanan awal pramusim di Melaka dan beliau hanya sempat beraksi dua perlawanan di Kemboja. Kami mengucapkan terima kasih untuk aksinya bersama skuad Hijau Putih walaupun untuk tempoh jangka masa pendek.

"Namun tidak mustahil pada masa depan pemain berkenaan kembali berada dalam senarai pasukan," kata Mohd. Yusoff kepada BHOnline hari ini.

Tempat Omid kini diisi oleh tonggak berpengalaman dari Korea Selatan, Jeon Woo-Young yang berusia 29 tahun dan pernah beraksi buat Jeonnam Dragons, Busan Ipark dan Seongnam Ilhwa.

Foto: Media Sosial