Kebangkitan Spasogoal bantu Melaka United ikat PKNS FC


AKSI terakhir pusingan pertama Liga Super 2017 menyaksikan Melaka United gagal memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri apabila diikat PKNS FC, 2-2 dalam aksi di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Namun, di sebalik kekecewaan terlepas tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri, kebangkitan penyerang prolifik, Ilija Spasojevic yang menyumbang kedua-dua gol tuan rumah pastinya memberikan satu harapan baharu buat Melaka United selepas mempamerkan aksi hambar sepanjang pusingan pertama Liga Super.

Dalam aksi malam tadi, Melaka United terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penyerang, Ilija Spasojevic pada minit ke-35 hasil sepakan penalti yang berpunca daripada tindakan pertahanan lawan menjatuhkan pertahanan kiri, Khair Jefri Jones dalam kotak penalti.


Kegembiraan penyokong Melaka United tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat bimbingan E. Elavarasan menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit hasil penyudah Patrick Ronaldinho pada minit ke-35 dan Safee Sali (40').

Tersentak dengan gol pantas lawan, anak buah Eric Williams segera bangkit mencari gol penyamaan.

Usaha mereka berhasil apabila Spasojevic atau Spaso berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42, gol ketiga penyerang berusia 30 tahun itu sepanjang kempen Liga Malaysia musim ini.


Bersambung di babak kedua, Melaka United dilihat lebih banyak mengatur gerakan bagi mencari gol kemenangan namun gagal menambah jaringan sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan satu mata.


Keputusan itu tidak membantu skuad selatan tanah air itu apabila kekal di tangga ke-10 Liga Super, satu mata di depan Sarawak dan lima mata mengatasi pasukan di dasar liga, Pulau Pinang.


Foto: MUSA