.

.

Akhirnya... Amri Yahyah kembali ke Selangor


BELUM pun sampai semusim Mohd. Amri Yahyah di Melaka, penyerang kebangsaan itu akhirnya angkat kaki kembali kepada pasukan kelahirannya, Selangor.

Rundingan antara pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada awal musim telah membawa pemain yang dikenali sebagai Wak Am itu ke Melaka.

Namun, selepas tiba di Stadium Hang Jebat dengan reputasi besar sebagai kapten skuad Harimau Malaya, kehadiran Mohd. Amri dalam Melaka United gagal memberi impak seperti diharapkan.

Diawal musim, penyerang yang menggunakan nombor 'keramatnya', 17 tercari-cari rentaknya seperti di Johor serta bergelut membentuk keserasian dengan rakan sepasukan baharu.

Selepas aksi di Kuching menentang Sarawak, timbul gosip yang mendakwa Mohd. Amri tidak sehaluan dengan kapten pasukan, Ilija Spasojevic namun dakwaan itu segera dinafikan kedua-dua pemain.

Jaringan Mohd. Amri untuk Melaka United akhirnya tiba ketika aksi pusingan kedua Piala FA menentang PKNS FC di Stadium Hang Jebat kerana itu merupakan gol tunggal perlawanan yang membawa skuad kendalian Eric Williams itu ke pusingan berikutnya.


Mohd. Amri selepas itu buntu di depan gawang dan terpaksa diketepikan untuk dua aksi Liga Super menentang bekas majikannya, JDT gara-gara perjajian 'gentlemen agreement' yang dibuat ketika perpindahan pemain itu dari Stadium Larkin.

Mohd. Amri dilantik sebagai kapten baharu Melaka United susulan daripada tindakan Spasojevic yang melepaskan lilitan lengan berkenaan bagi memberi peluang kepada pemain mengetuai pasukan.

Sepanjang beraksi kira-kira 875 minit dalam aksi Liga Super dan FA, Mohd. Amri berjaya meledak gol sekali dan merekodka dua bantuan jaringan.


Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, Melaka United terpaksa melepaskan khidmat Mohd. Amri apabila beberapa perbincangan yang dibuat dengan Selangor menagih kembali khidmat anak jati negeri itu.

"Amat berat hati untuk melepaskan Mohd. Amri namun beliau sendiri telah bersetuju untuk bersama Selangor. Saya harap Mohd. Fauzi Roslan dan pemain lain mampu mengambil alih dan peluang mengantikan tempat Mohd. Amri selepas ini," katanya hari ini.

Foto: MY_Futbol, FAS
Powered by Blogger.