TIDAK mahu menunggu lama, Melaka United mengambil langkah drastik menyingkirkan dua pemain import, Godwin Antwi dan Sergio Aguero selepas kedua-dua pemain gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang kempen Liga Super musim ini.
Kehadiran Antwi sebelum ini dilihat bakal membina benteng pertahanan ampuh namun keadaan berlaku sebaliknya apabila skuad bimbingan Eric Williams itu merekodkan jumlah gol dibocori tertinggi Liga Super iaitu 25 gol, sama jumlah dengan PKNS FC selepas 12 perlawanan.
Nasib turut tidak menyebelahi pemain import dari Argentina, Sergio Aguero apabila terpaksa bergelut dengan kecederaan dan gagal meledak sebarang gol sepanjang 528 minit beraksi untuk Melaka United.
MOHD. YUSOFF beri sokongan penuh terhadap Eric Williams dalam melakukan rombakan pasukan. |
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi berkata, keputusan mengekalkan seorang lagi penyerang import, Ilija Spasojevic atau Spaso dilakukan bukan kerana puas hati dengan mutu permainan pemain berasal dari Montenegro itu tetapi kerana oleh kerana masalah kangkangan kewangan.
“Sekiranya Spaso terus gagal mengubah corak permainan sebelum jadual perpindahan pemain ditutup 11 Jun ini, kita tidak mempunyai pilihan lain untuk mencari pemain baru, ”katanya.
Seorang lagi tonggak import, Jeon Woo Young dikekalkan selepas berjaya meledak empat gol dalam 10 perlawanan sepanjang bersama Melaka United.
Melaka United semalam selesai mengambil seorang pemain impot baharu berasal dari Macedonia, Jasmin Mecinovic yang berusia 27 tahun dan akan bermain di posisi pertahanan.
“Diharap kedatangan Mecinovic yang mempunyai ketinggian 1.94 meter itu mampu memperkemaskan benteng pertahanan pasukan yang sebelum ini kerap dibolosi hampir 30 gol dalam saingan separuh musim pertama ini,” kata Mohd. Yusoff.
Dalam pada itu, Melaka United bakal menguji seorang penyerang import baharu dari Brazil, Felipe De Almeida Souza dalam aksi persahabatan menentang PKNP FC di Stadium Hang Jebat malam ini.
MELAKA United mungkin membawa masuk kembali Labinot Harbuzi jika prestasi Almeida Souza gagal memikat Eric Williams. |
Namun, Mohd. Yusoff yang juga pengurus pasukan Melaka United berkata, jika Almeida Souza gagal menambat hati Williams, pasukan itu tidak menolak untuk membawa kembali pemain import kegemaran penyokong, Labinot Harbuzi atau Labi kembali menyertai skuad Sang Kancil itu.
“Sekiranya Felipe gagal memberi keyakinan jurulatih, kita tidak menolak kemungkinan mengguna kembali khidmat bekas pemain musim lepas, Labi sebagai pilihan kedua bagi membantu Woo Young mengemudi di barisan tengah.
“Apa pun kita akan serahkan kepada Williams untuk membuat penilaian terhadap pemain baharu sebelum diterima masuk dalam pasukan,” katanya.
Foto: PBM, MUSA, Utusan Online
Foto: PBM, MUSA, Utusan Online