.

.

Eric Williams 'direhatkan', apa seterusnya?


DRAMA bola sepak Melaka kini memasuki episod baharu apabila ketua jurulatih, Eric Williams dilaporkan telah direhatkan selepas didakwa mengalami masalah kesihatan.

Bagaikan ada 'si penulis' skripnya, olahan plot dan subplot penceritaannya cukup teliti dan sukar diramal malah kian bercambah seakan-akan 'memaksa' Melaka United untuk terus kekal menghuni tangga ke-10 Liga Super.

Yang menariknya, Williams diketepikan menjelang pertemuan penting menentang Felda United yang berada di kedudukan keenam liga dan hanya dibezakan tiga mata dengan Melaka United.

Segalanya bermula dengan tindakan penyingkiran bekas ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang tidak disambung kontraknya biarpun berjaya membawa Melaka United menjadi juara berganda, Liga FAM dan Liga Perdana dalam tempoh dua tahun.

Bertitik tolak daripada itu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menjelaskan pasukan memerlukan seorang pengendali berwibawa bagi mengharungi Liga Super yang lebih mencabar sebelum membawa masuk Williams.

MEMBUKA tirai Liga Super dengan keputusan seri di gelanggang lawan menentang Selangor.
Pengendali berbangsa Inggeris ini sememangnya sinonim dengan kejayaan di Liga Kebangsaan Myanmar selepas mengemudi Yangon United menjuarai kejohanan tertinggi bola sepak negara itu.

Tiba dengan dengan reputasi tinggi, segalanya tampak berjalan lancar buat Williams bersama pasukan baharunya biarpun agak pelik diberikan pemain-pemain tanpa berpeluang memilih jenis pemain yang sesuai dengan taktikalnya.

Selepas itu, satu demi masalah dilaporkan timbul dengan dua bintang, tempatan dan import iaitu Mohd. Amri Yahyah dan Ilija Spasojevic didakwa tidak sehaluan baik di dalam mahupun luar padang.

Itu merupakan antara salah satu masalah dalaman yang perlu diselesaikan dengan baik oleh Williams bagi mengekalkan keharmonian di bilik persalinan.

Kekalahan 1-3 kepada Pahang dalam perlawanan keenam Liga Super di Stadium Hang Jebat merupakan antara titik tolak yang membawa kepada kemerosotan prestasi skuad kendalian sebelum merekodkan tiga kekalahan berturut-turut kepada Pahang, Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ketika tamat aksi separuh musim pertama Liga Super, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pasukan akan memberikan Williams masa untuk membentuk kembali Melaka United dengan diberikan pilihan memilih pemain sendiri.

Jadi, persoalannya di sini siapa yang memilih pemain untuk pasukan sebelum ketibaan ketua jurulatih baharu? Mungkinkah ada individu yang memainkan peranan kepada apa yang berlaku ketika ini?

Melaka United beraksi cemerlang ketika mengikat JDT di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini.
Jika dinilai prestasi Melaka United pada permulaan separuh masa kedua kempen Liga Super, Melaka United kekal tanpa kalah dalam tiga perlawanan, kesemuanya seri menentang JDT, Felda United dan PKNS FC.

Williams turut mengambil pendekatan proaktif apabila 'menyingkirkan' lebihan pemain yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan dipinjamkan ke pasukan-pasukan yang bermain dalam Liga FAM.

Tindakan drastik lain yang turut dilakukan adalah mengenepikan dua pemain import, Sergio Aguero dan Godwin Antwi bagi membawa masuk pertahanan, Jasmin Mecinovic sementara seorang lagi pemain import yang masih diuji.

Ketika aksi menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka bakal berlangsung esok, penyokong Melaka United dikejutkan dengan pengumuman Mohd. Yusoff yang disiarkan Astro Arena bahawa Williams meminta untuk direhatkan atas alasan kesihatan.

Mohd. Yusoff turut memberi gambaran bahawa Williams mungkin tidak lagi membimbing Melaka United jika penolong jurulatih, G. Selvamohon berjaya mengemudi pasukan menundukkan Felda United di Jengka.

Terma 'direhatkan' dalam bola sepak Malaysia adalah dipecat. Cuba gunakan bahasa mudah, kan senang.

Apa sebenarnya konflik atau pergolakan dalaman yang berlaku di dalam MUSA? Di mana janji untuk berikan Williams masa untuk memperbetulkan keadaan? Benarkah dakwaan wujudnya berpuak-puak dalam pasukan dan staf kejurulatihan?

Hanya mereka-mereka yang ada di dalam MUSA boleh menjawabnya.

Foto: Utusan Online
Powered by Blogger.