.

.

Melaka United ikat pendahulu liga


JARINGAN lewat tonggak import, Jeon Woo-Young memberikan Melaka United satu mata penting selepas berjaya mengikat pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi ke-12 Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubung, malam tadi.

Biarpun masih dihantui kekalahan besar 0-7 kepada lawan sama bulan lalu, skuad bimbingan Eric Williams itu turun di halaman sendiri dengan penuh keyakinan bagi mengubat kelukaan yang dicatat di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Ketua Jurulatih Melaka United itu melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utamanya menentang PKNS FC selepas Mohd. Amri Yahyah tidak boleh diturunkan kerana perjanjian antara kedua-dua pasukan berhubung perpindahan penyerang kelahiran Selangor itu ke negeri ini.

Penyenaraian Mohd, Syawal Norsam yang digandingkan bersama Godwin Antwi di pertahanan tengah sambil dibantu G. Puaneswaran dan Khair Jefri Jones di sebelah kiri dan kanan.

Menggunakan formasi 4-4-1-1 dengan Ilija Spasojevic sebagai penyerang tunggal, Melaka United dilihat berjaya mengimbangi perlawanan pada 15 minit pertama biarpun pelawat banyak mencipta gerakan menerusi bahagian sayap.

JDT hampir berada di depan pada minit ke-19 apabila hantaran silang Mohd, Fazly Mazlan disambut baik penyerang, Ahmad Hazwan Bakri namun percubaan volinya sedikit tinggi melepasi palang gol.

Selang seminit kemudian, giliran penyerang import JDT, Gabriel Guerra melepaskan peluang keemasan apabila tandukkannya sekadar terkena tiang ketika penjaga gol Melaka United, Mohd, Fazli Paat sudahpun tertewas.

PERGERAKAN Ilija Spasojevic sering dirantai pertahanan JDT sepanjang permainan.
Melaka United turut berpeluang memperoleh gol pertama pada minit ke-25 namun percubaan dari jarak 30 Woo-Young sedikit tersasar.

Disiplin yang tinggi ditunjukkan pertahanan Melaka United dan ketangkasan Mohd. Fazli menyebabkan jentera serangan pelawat gagal memperoleh gol pada babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Melaka United hampir berjaya mendapatkan gol pertama menerusi sepakan voli Ahmad Khuzaimi Piee pada minit ke-54 namun percubaan yang terhasil daripada hantaran cantik Sergio Aguero sedikit tinggi melepasi palang,

JDT akhirnya memecah kebuntuan jaringan apabila Safiq Rahim meledak gol pertama pelawat menerusi sepakan percuma mengelirukan pada minit ke-59, sekali gus menewaskan Fazli di gawang Melaka United,


Melaka United cuba menggandakan asakan selepas itu dengan membawa masuk Mohd. Fauzi Roslan, Ahmad Ezrie Shafizie dan Izzat Faris Ramlan dan pencaturan Williams itu akhir membuahkan hasil.

Woo-Young menyambut baik hantaran rakan sepasukan sebelum melepasi kawalan Dominic Tan kemudiannya meledak gol penyamaan Melaka United.

Perlawanan di akhir-akhir babak sedikit tegang namun keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan ini melonjakkan Melaka United ke tangga kesembilan memintas PKNS FC yang hanya akan turun bermain esok.

Satu keputusan positif dicatatkan serta kualiti permainan yang semakin baik dipamerkan Melaka United perlu diteruskan agar dapat terus kekal bersaing bersama pasukan Liga Super lain. Gegau hawau gegau!

Foto: MUSA
Powered by Blogger.