.

.

Rajagobal atau Azraai Khor jadi pilihan Melaka United?


DUA nama besar kancah bola sepak tempatan, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal merupakan dua nama yang disebut-sebut bakal mengisi kerusi panas selaku ketua jurulatih Melaka United.

Ini kerana masa depan Eric Williams bersama skuad Sang Kancil itu dilaporkan telahpun berakhir selepas direhatkan pada perlawanan menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak Jengka minggu lalu atas faktor kesihatan.

Ekoran daripada itu, karier bekas pengendali  kelab Myanmar, Yangon United itu kini sampai ke penghujungnya dengan keputusan muktamad mengenai masa depan Williams dijangka dimuktamatkan minggu ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pasukan itu memerlukan rombakan dari peringkat kejurulatihan sehinggalah kepada pemain.

"Kita perlu buat perubahan secara besar-besaran. Mungkin pada asal dua import kita tukarkan tetapi sekarang kita fikir untuk tukar tiga pemain import. 

"Begitu juga kedudukan jurulatih dalam penilaian terakhir untuk kita muktamatkan. Saya rasa dalam muktamatkan kedudukan jurulatih dan juga beberapa pemain tempatan," katanya kepada pemberita malam tadi.

MOHD. YUSOFF ketika meninjau persiapan skuad bawa 22 tahun negara, malam tadi.
Rajagopal merupakan satu nama yang tidak asing lagi selepas membimbing skuad Harimau Muda memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos, sekali gus menamatkan penantian 20 tahun ibu pingat di kejohanan sukan rantau ini.

Ketua jurulatih berusia 61 tahun itu juga berjaya membimbing Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 selepas menundukkan Indonesia dengan agregate 4-2.

Kali terakhir Rajagobal menguruskan pasukan adalah bersama Sarawak namun gagal mencatatkan keputusan yang baik bersama skuad Bumi Kenyalang itu.

Sementara itu, Mohd. Azraai Khor pula merupakan antara ketua jurulatih yang mempunyai rekod cemerlang di Liga Malaysia selepas membimbing Kedah menjuarai dua kejuaraan treble pada musim 2006/07 dan 2007/08.

Beliau yang turut pernah membimbing Kelantan kini merupakan ejen bebas dan dilaporkan berminat untuk mengemudi pasukan Melaka United.

Foto: Media Sosial, Utusan Online
Powered by Blogger.