.

.

Selvamohan calon ganti Williams?


SEMUA sedia maklum mengenai keputusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang merehatkan ketua jurulatih, Eric Williams untuk perlawanan menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini.

Tumpuan pastinya terarah kepada pengendali sementera, G. Selvamohan yang buat kali pertamanya membimbing pasukan selepas kali terakhir mengemudi skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka United di Sarawak tahun lalu.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Yusoff Mahadi, memberi bayangan kelmarin bahawa Selvamohan mungkin dikekalkan membimbing Melaka United sekiranya berjaya membenam cabaran Felda United di gelanggang lawan. 

Memetik laporan Astro Arena Isnin lalu, Mohd. Yusoff berkata, Selvamohan yang diberikan peranan mengendalikan boleh dilantik selaku ketua jurulatih jika berjaya membantu pasukan meraih tiga mata.

Selvamohan (kiri) ketika mengendalikan skuad Piala Belia Melaka.
Siapa sebenarnya Selvamohan? Penolong ketua jurulatih Melaka United ini sangat sinonim dengan bola sepak Melaka sejak zaman kemerosotan pasukan yang diturunkan pangkat ke Liga FAM pada musim 2011.

Pada 2012, Selvamohan dilantik sebagai ketua jurulatih bagi mengharungi kempen Liga FAM berdepan cabaran Pulau Pinang dan tujuh lagi pasukan berstatus kelab untuk aksi musim kedua di liga divisyen tiga di negara ini.

Sepanjang mengendalikan Melaka United atau masih dikenali sebagai Melaka ketika itu, skuad bimbingan Selvamohan mempamerkan persembahan hambar dengan menamatkan kempen di tangga ketujuh daripada sembilan pasukan, mengatasi Melodi Jaya dan SDM Kepala Batas.

Dalam 16 perlawanan Liga FAM, Melaka merekodkan enam kemenangan, satu seri dan 10 kekalahan dengan menyaksikan skuad kendalian Selvamohan hanya menjaringkan 10 gol dan dibolosi sebanyak 25 kali.

Selepas mengharungi musim hambar, Selvamohan selepas itu digantikan oleh Mohd. Asri Ninggal.

SELVAMOHAN (belakang, enam dari kiri) bersama skuad SUKMA Melaka sebelum bertolak ke Sarawak tahun lalu.
Beliau kekal dalam barisan kejurulatihan Melaka United dan diberikan peranan membimbing skuad belia yang beraksi dalam kejohanan SUKMA Sarawak 2016.

Dalam aksi tiga perlawanan, Melaka menamatkan saingan di tangga ketiga dengan empat mata hasil daripada satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan sekali gus gagal melayakan diri ke peringkat suku akhir selepas berada di belakang Selangor dan Johor yang berada di tempat pertama dan kedua.

Mungkinkah dengan hanya satu kemenangan menentang Felda United malam ini bakal menjanjikan tempat sebagai ketua jurulatih buat Selvamohan? Sama-sama kita nantikan drama terbaharu bola sepak Melaka.

Foto: MUSA, Kelab Bolasepak Bekas Pemain Negeri Melaka
Powered by Blogger.