ISU gaji nampaknya kembali membelenggu Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) selepas pemain skuad Piala Presiden dan Belia mendakwa tidak dibayar wang yang sepatutnya diterima mereka.
Apa sudah jadi dengan pasukan ini? Mungkinkah disebabkan faktor gaji pemain beraksi sambil lewa menyebabkan dibelasah 8-1 oleh Kelantan di Kota Bharu, Isnin lalu?
Menurut pendedahan pemain tersebut di portal MStar, pengurusan MUSA gagal membayar gaji pemain untuk April dan masalah itu dibimbangi akan berlanjutan sehingga bulan ini.
Kata pemain berkenaan, kebanyakan pemain remaja skuad itu sudah 'pokai' selepas tidak menerima gaji dan terpaksa mengikat perut bagi meneruskan karier mereka sebagai pemain bola sepak.
Pihak yang bertanggungjawab menjaga gaji pemain remaja ini sepatutnya menyelesaikan kemelut ini secepat mungkin bagi mengelakkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pasukan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).
Berada dalam dunia bola sepak tempatan, 'mereka-mereka' yang menguruskan pasukan ini sepatutnya tahu bahawa pemain memerlukan gaji bagi meneruskan kelangsungan hidup dan dijadikan karier biarpun mereka hanya beraksi untuk skuad Piala Presiden.
Jangan nanti sudah terhantuk baru hendak tengadah. Bukan hendak memperkecilkan kemampuan pengurusan namun jika perkara besar seperti ini berlaku dalam pasukan, mereka perlu ambil tanggungjawab.
Jika tidak mahu bertanggungjawab, dengan bahasa mudahnya mereka perlu melepaskan jawatan dan berundur. Usah hanya mahukan nama ketika pasukan meningkat naik tetapi bila krisis berlaku, mereka lepas tangan dan pekakkan telinga masing-masing.
Foto: FAM, MUSA