.

.

Tiada kelibat Nik Shahrul Azim di Stadium Hang Jebat


SPEKULASI perpindahan pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim ke Melaka United kini hanya tinggal khabar angin sahaja selepas Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bertindak untuk menamatkan minat terhadap pemain berusia 27 tahun ini.

Ini susulan daripada maklum balas yang diterima persatuan mengenai kontrak anak kelahiran Rantau Panjang itu yang masih berbaki setahun sehingga 2018.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi memaklumkan, pihaknya ada menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mengetahui status pemain berkenaan.

Mohd. Yusoff yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata, usaha tersebut mendapat reaksi positif daripada pemain berkenaan namun panggilan telefon maklum balas KAFA selepas itu mematikan langkah Melaka United.

"Kontraknya masih panjang, kami tidak mahu mengganggu pemain terbabit, selain boleh menjejaskan kekuatan pasukan berkenaan.

"Mungkin jodoh Nik Shahrul Azim bersama Melaka United belum ada, namun kami tidak menolak kemungkinan dia akan bersama pasukan Sang Kancil pada masa depan," katanya seperti dipetik dalam portal Berita Harian hari ini.

Ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams kini dalam proses melakukan rombakan kecil dalam pasukan bagi memastikan Melaka United kekal relevan dan dapat bersaing dengan pasukan-pasukan lain di Liga Super.

Antara langkah awal Williams adalah menghantar tiga pemain simpanan ke pasukan Liga FAM secara pinjaman sehingga akhir musim ini.

Terbaharu, Melaka United dilaporkan telah mengikat kontrak pertahanan import dari Macedonia, Jasmin Mecinovic sambil seorang penyerang dari Brazil dikatakan sedang menjalani latihan dibawa bimbingan Williams.


Foto: Pahang FA
Powered by Blogger.