SELEPAS hampir sebulan tanpa ketua jurulatih, Melaka United akhirnya menemui pengganti Eric Williams selepas mencapai persetujuan dengan bekas pengendali T-Team FC, Eduardo Almeida.
Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, sekiranya segalanya berjalan lancar, Almeida akan ke Melaka esok bagi perbincangan akhir sebelum memulakan sesi latihan pertama bersama juara Liga Perdana musim lalu itu.
"Saya dan Eduardo telah bersetuju, namun saya tetap mahukannya datang ke Melaka terlebih dahulu," kata Mohd. Yusoff kepada Astro Arena hari ini.
Almeida bakal menggantikan tempat pengendali sebelum ini Williams yang ditamatkan kontrak selepas melalui kempen yang hambar dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini.
Dalam pada itu, Mohd. Yusoff juga menjelaskan, pengalaman yang dimiliki Eduardo ketika bersama T-Team mampu membantunya menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak Malaysia.
"Dia pernah bersama T-Team, jadi sedikit-sebanyak dia sudah memahami keadaan bola sepak di Malaysia," katanya.
Nampaknya pengurusa MUSA kekal dengan pendirian mereka untuk melantik ketua jurulatih luar biarpun sejarah membuktikan dalam tempoh empat tahun dua pengendali luar, Williams dan Laco Tatkovic gagal di Melaka.
Sebelum ini, beberapa nama pengendali tempatan seperti Mohd. Azraai Khor Abdullah, Datuk K. Rajagobal, Hassan Sazali Waras dan K. Devan dikaitkan dengan kekosongan jawatan di Melaka United namun pengurusan MUSA tetap berkeras untuk melantik 'orang luar' bagi menguruskan pasukan.
Foto: abola