"MUNGKIN saya tidak lagi menyarung jersi ini lagi tetapi saya tetap sebahagian daripada keluarga besar Melaka United."
Itulah luahan antara penyerang terbaik sepanjang zaman yang pernah dimiliki Melaka United, Ilija Spasojevic selepas beliau diketepikan pada pertengahan musim ini.
Spaso menempuh musim yang kurang baik musim ini, refleksi daripada kemelut dalaman pasukan. |
Menganggap Melaka United sebagai salah satu 'perjuangannya' dalam bola sepak, Spasojevic gang muncul sebagai pemenang Kasut Emas Liga Malaysia musim lalu tidak memendam perasaan disebalik 'penyingkirannya'.
Sebaliknya Spasojevic atau Spaso berkata, apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah Melaka United, memastikan kelab kekal di Liga Super pada musim-musim akan datang.
Spaso berharap Melaka United akan kekal di Liga Super musim depan. |
Biarpun pada awal musim lalu beliau dilaporkan ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super lain, namun Spaso berkata dia hanya mahu beraksi untuk Melaka United sahaja di negara ini.
Pasukan menjadi keutamaan Spaso berbanding kepentingan peribadi. |
"Satu pengalaman hebat selama 18 bulan beraksi untuk Melaka United. Terima kasih kepada rakan sepasukan atas sokongan tidak berbelah bagi di dalam dan di luar padang.
"Terima kasih juga kepada pengurusan kelab dan semua kakitangan yang menjaga saya dan keluarga sepanjang berada di sini. Juga kepada semua jurulatih terutama Mat Zan Mat Aris yang mengenal pasti potensi dan membantu saya berada di puncak prestasi.
"Akhir sekali, terima kasih tidak terhingga kepada semua rakyat Melaka atas sokong menakjubkan. Kelab ini sangat menakjubkan dan terus berikan sokongan seperti dulu," kata Spaso menerusi akaun Facebooknya, semalam.
Sepanjang kira-kira satu setengah musim bersama Melaka United, Spaso telah menjaringkan 30 gol dalam 35 perlawanan.
Bekas penyerang Persi Bandung itu juga memenangi Liga Perdana musim lalu dan mencatat sejarah muncul penjaring terbanyak liga berkenaan sekali gus dinobatkan sebagai penerima Kasut Emas Liga Malaysia.
Spaso turut memenangi anugerah Pemain Terbaik Bulanan sebanyak dua kali musim lalu.
Menerima Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM sebanyak dua kali. |
Pemergian Spaso merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak Melaka United namun kami doakan agar Spasogol kembali semula dan berjaya dalam kariernya selepas ini. Hvala puno il capitano!
Foto: FB Ilija Spasojevic, Labola, Media sosial