.

.

Pasukan 'berwajah baharu' diikat PKNS FC


Impian pasukan 'berwajah baharu' kendalian ketua jurulatih berasal dari Portugal, Eduardo Almeida melakar kemenangan menentang PKNS FC tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dalam saingan keluar daripada zon penyingkiran Liga Super malam tadi menyaksikan Melaka United mendominasi perlawanan namun tuan rumah dilihat banyak mencipta gerakan serangan berbahaya menguji keampuhan benteng pelawat yang diterajui Jasmin Mecinovic.

Patrick Ronaldinho hampir meletakkan PKNS FC di depan pada minit ke-10 menerusi hantaran Fabio Ferreira namun cubaan penyerang dari Liberia itu sedikit tersasar.

Pada minit ke-21, penjaga gol Melaka United, Mohd. Fazli Paat berjaya menafikan peluang terbuka PKNS FC apabila menghalang cubaan Ferreira menggunakan kaki selepas menerima hantaran silang Park Kwang-Il.

Melaka United turut menguji gawang tuan rumah yang dikawal Mohd. Zamir Selamat namun percubaan menerusi Marco Simic dan Mohd. Fauzi Roslan berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

REAKSI pemain-pemain Melaka United selepas tamat 90 minit perlawanan.
Bersambung di babak kedua, Almeida melakukan satu pertukaran dengan membawa masuk Jasmir Mehat bagi menggantikan R. Surendran di bahagian sayap.

Empat minit kemudian, Melaka United memperoleh sepakan percuma dari sebelah kanan gawang tuan rumah dan peluang tersebut tidak dipersiakan apabila perancang tengah, Felipe de Almeida Souza menyempurnakan peluang menerusi percubaan cantik untuk meletakkan pelawat di hadapan.

Kwang-Il turut menguji Mohd. Fazli di gawang Melaka United pada minit ke-67 namun sepakan percumanya sekadar menggegar palang ketika benteng terakhir pelawat itu sudah pun tertewas.

PKNS FC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi jaringan sepakan penalti penyerang, Mohd. Safee Sali.

Sepakan penalti kontroversi itu berpunca daripada bola didakwa terkena tangan pertahanan Melaka United, Mecinovic ketika cuba menghalang percubaan tuan rumah.

Kedua-dua pasukan membuat bantahan namun pengadil berpihak kepada tuan rumah dan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad bimbingan E. Elavarasan itu sementara pertahanan import tersebut dilayangkan kad merah kerana didakwa sengaja menahan bola menggunakan tangan.

Mohd. Fauzi terlepas peluang meletakkan kembali Melaka United di hadapan pada minit ke-84 biarpun hanya berdepan penjaga gol lawan namun gagal disudahkan dengan baik bekas penyerang Pahang itu.


Keputusan ini tidak mengubah kedudukan Melaka di tangga ke-11 Liga Super dengan  12 mata daripada 14 perlawanan mengatasi Pulau Pinang di dasar liga yang mengutip enam mata.

PKNS FC pula di tangga ke-10, sama mata dengan Melaka United namun dibezakan dengann julmlah jaringan.

Skuad bimbingan Almeida itu akan berlepas ke Alor Setar hari ini bagi membuka kempen Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Darul Aman,  Selasa depan.

Foto: FMLLP
Powered by Blogger.