.

.

Tiada kejutan dilakar di Darulaman


MELAKA UNITED membuka tirai kempen Piala Malaysia dengan langkah kiri selepas tunduk 0-2 kepada juara bertahan, Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi.

Ketua jurulatih, Eduardo Almeida melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan merehatkan pemain import, Felipe de Almeida Souza.

Pemain baharu, Norhakim Isa, Azinee Taib, Nicholas Swirad, Mohd. Fandi Othman dan S. Sivanisan diberikan peluang untuk tampil dalam perlawanan kompetetif sulung bersama Melaka United.

Peluang Melaka United tercipta menerusi hantaran silang dari sebelah sayap Khair Jones kepada Azinee yang kemudiannya melakukan sepakan voli dari jarak 30 ela yang sedikit melepasi palang gol Kedah pada minit ke-18.


Tersentak dengan cubaan itu, Kedah mengatur serangan balas dan hampir sahaja memperoleh gol seminit kemudian menerusi gerakan Sandro da Silva dan Syazwan Zainon namun percubaan pemain import berkenaan sekadar mengenai tiang gol Melaka United.

Juara bertahan Piala Malaysia itu akhirnya berjaya mendapatkan gol pertama pada minit ke-29 menerusi jaringan Sandro yang melakukan rembatan leret dari luar kotak penalti yang berpunca daripada tandukan keluar lemah pertahanan Melaka United, Jasmin Mecinovic.

Skuad bimbingan Eduardo Almeida itu cuba bangkit menerusi tandukan Marco Simic namun tandukan penyerang import itu tidak tepat ke sasaran pada minit ke-32.

Mohd. Fauzi Roslan dibawa masuk Almeida pada selepas masa rehat bagi menggantikan Azinee bagi mencari gol sulung Melaka United.

Ketika Melaka United mula menyusun gerak mencari gol penyamaan, Kedah pantas menafikan hasrat pelawat apabila menambah gol kedua pada minit ke-63 menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar.

Tonggak kebangsaan itu tidak dikawal dalam kotak penalti Melaka United melakukan sepakan padu melepasi kawalan Mohd. Fazli Paat untuk gol pertamanya dalam kempen Piala Malaysia musim ini.


Usaha Melaka United mencari gol selepas itu tidak berhasil selepas gagal melepasi benteng ampuh Kedah dan keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan.

Kedudukan itu meletakkan Melaka United di tangga terakhir selepas satu lagi perlawanan menyaksikan Kelantan menundukkan UiTM FC 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV.

Apa yang jelas di sini, kelemahan di bahagian tengah telah membawa kepada Kedah untuk menguasai perlawanan khususnya menerusi Sandro dan Liridon.

Selain itu, kekurangan dari aspek pace terutama di bahagian pertahanan kanan yang dikawal oleh Mohd. Akmal Zahir menyebabkan tuan rumah acapkali mengasak di bahagian tersebut khususnya menerusi Syazwan, Sandro dan Mohd. Fitri Omar.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.